DPMM FC B19 juara 4-Penjuru

DPMM FC B19 juara 4-Penjuru

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – DPMM FC B19 (Bawah 19 Tahun) bermain cemerlang petang ini sehingga berjaya menewaskan pasukan pilihan juara, Politeknik Brunei dengan jaringan 4-2 untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Bolasepak 4-Penjuru anjuran Sekolah Sukan 2015.

Menyempurnakan penyampaian Piala Juara Kejohanan Bolasepak 4-Penjuru anjuran Sekolah Sukan 2015 kepada DPMM FC B19 yang diwakili ketua pasukannya, Muhd Azim Izamuddin bin Haji Suhaimi itu ialah Timbalan Pengetua Sekolah Sukan, Mohd Norilham bin Haji Jais.

Guru Kanan Sekolah Sukan, Azrin bin Aji pula menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sukarelawan dari Politeknik Brunei yang membantu menjayakan kejohanan dan kemudiannya cenderahati penghargaan kepada DPMM B19 yang diwakili Muhd Azim dan Politeknik Brunei yang diwakili ketua pasukannya, Mohammad Ikmal Hakim bin Haji Mohd Yunos.

Jika ada Anugerah Pemain Terbaik pastinya anugerah itu akan diserahkan kepada pemain sayap kanan DPMM B19 yang menyarung Jersi 23, Abang Nur Hilman bin Abang Nor Hillmy kerana dia berjaya mencetak hatrik hanya dalam tempoh tiga belas minit pertama perlawanan iaitu pada minit ke-3, ke-10 dan ke-13.

Selesa mendahului 3-0 masuk ke separuh masa kedua, DPMM FC tidak duduk diam sehingga beberapa kali mempunyai peluang keemasan untuk menambah jaringan tetapi sering tersasar. Kegagalan memanfaatkan beberapa peluang berharga itu mengundang padah kerana Politeknik Brunei kemudiannya menjadi bertambah yakin apabila berjaya membolosi gawang DPMM FC B19 dua kali menerusi Ahmad ‘Afif As’ad bin Haji Ali pada minit ke-50 dan Mohammad Ikmal Hakim pada minit ke-58.

Para pemain DPMM B19 dengan piala juara yang dimenangi bergambar ramai bersama jurulatih dan pihak pengurusan DPMM FC.
Para pemain DPMM B19 dengan piala juara yang dimenangi bergambar ramai bersama jurulatih dan pihak pengurusan DPMM FC.

Perlawanan terakhir di padang bolasepak Sekolah Sukan yang menjadi penentu kejuaraan kedua-dua pasukan itu menjadi semakin hebat akibat daripada kejayaan Politeknik Brunei mencantas pendahuluan DPMM FC B19 kepada hanya satu gol berkenaan, pada kedudukan 3-2.

Namun jaringan pemain simpanan DPMM FC B19 yang baru dimasukkan lima minit sebelum perlawanan tamat iaitu Muhd Hanafi bin Mohd Herry pada minit terakhir perlawanan (minit ke-70) terus mematikan semangat kebangkitan pemain Politeknik Brunei. Jaringannya itu sekali gus memberikan DPMM FC B19 yang baru ditubuhkan pada Jun 2015 itu merasai nikmat kejuaraan buat pertama kalinya dan pastinya bukan yang terakhir.

Politeknik Brunei memiliki kelebihan untuk muncul juara kejohanan apabila hanya memerlukan keputusan seri kerana memiliki jumlah jaringan dan perbezaan gol yang lebih tinggi (19 jaringan tanpa bolos) daripada DPMM FC (14 jaringan tanpa bolos) walaupun kedua-dua pasukan sama-sama mengumpul 6 mata.

Minggu pertama kejohanan pada 8 September menyaksikan Politeknik Brunei menang 8-0 ke atas Sekolah Sukan U15, manakala DPMM FC B19 menang 11-0 ke atas Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei B14, manakala minggu kedua kejohanan pada 13 September menyaksikan Politeknik Brunei mencatat kemenangan besar 11-0 ke atas Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei B14 manakala DPMM FC B19 sekadar menang 3-0 ke atas Sekolah Sukan U15.

Dalam perlawanan pertama minggu ketiga kejohanan pada petang ini, Sekolah Sukan B15 memastikan tempat ketiga menjadi miliknya apabila menewaskan Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei U14 dengan jaringan 6-0. Kejohanan berlangsung di Padang Bola Sepak Sekolah Sukan, Kampung Pulaie berkenaan bertujuan bagi memberikan pendedahan dan masa permainan yang kompetitif kepada para pemain muda Sekolah Sukan dan Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA