DPMM FC bakal adakan fanfare

DPMM FC bakal adakan fanfare

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Sebelum memulakan misi mempertahankan kejuaraannya dalam Liga Singapura (S.League) 2016, Kelab Bola Sepak DPMM (DPMM FC) akan mengadakan DPMM FC Football Fanfare – S.League 2016 pada 31 Januari ini di Mini Stadium Jerudong Park.

Acara yang akan bermula pada 8:45 pagi itu merupakan salah satu aktiviti tahunan DPMM FC dan S.League sebelum memulakan kempen S.League 2016 menentang Albirex Niigata di Stadium Jalan Besar, Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 13 Februari nanti.

Untuk tahun ini, DPMM FC dan S.League telah sepakat untuk mengadakan pertandingan bola sepak persahabatan untuk pemain bawah 11 tahun, yang akan disertai sejumlah 16 buah pasukan terdiri daripada wakil sekolah rendah, sekolah swasta, skim bola sepak dan kampung.

Pasukan-pasukan itu akan dibahagikan kepada empat buah kumpulan yang mengandungi empat buah pasukan sekumpulan dan akan bermain dalam liga satu pusingan (round robin). Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir, bersaing merebut tempat ke separuh akhir dan kemudiannya akhir.

Tujuan utama pertandingan berbentuk persahabatan itu dianjurkan adalah bagi memberikan peluang kepada para pemain yang menyertainya beraksi dalam suasana perlawanan walaupun aktiviti hanya merupakan perlawanan-perlawanan berbentuk persahabatan. Dijangkakan, Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) akan hadir sama di acara itu nanti dalam sama-sama memeriahkan lagi suasana aktiviti berkenaan. Kehadirannya itu dianggap memberikan satu penghormatan tinggi kepada DPMM FC selaku juara bertahan sebelum bermulanya S.League 2016.

Acara yang dijangka menjadi tumpuan utama selain perlawanan yang dianjurkan itu nanti ialah Sesi Bertemu Pemain DPMM FC Musim 2016 termasuk jurulatih dan pihak pengurusan pasukan, yang pastinya memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat terkini perkembangan DPMM FC sebelum kempen S.League 2016 bermula.

DPMM FC mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa/penjaga pemain dan peminat bola sepak tanah air pada acara itu nanti untuk memeriahkan lagi suasana pertandingan di samping diharap akan dapat memberikan suntikan semangat kepada para pemain di peringkat akar umbi yang akan beraksi dalam pertandingan itu. – Hasrulraizan