DPMM FC benam G. Young Lions

DPMM FC benam G. Young Lions

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Asakan demi asakan Garena Young Lions kepada pasukan tuan rumah gagal untuk mengubah keputusan perlawanan apabila Brunei DPMM FC menutup jaringan melalui sepakan penalti pada minit ke-90 perlawanan bagi kemenangan 5-3 dalam saingan Liga-S di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, sebentar tadi.

Setelah berjaya membenam Pasukan Home United FC beberapa hari lalu, perkara tersebut tidak menghalang skuad kendalian Steve Kean itu untuk menunjukkan aksi mantap apabila Brian Mclean membuka jaringan pada minit ke-4 melalui tandukan diikuti selang empat minit kemudian jaringan yang dibuat juga melalui tandukan pemain tinggi lampai Rafael Ramazotti.

Rafael Ramazotti sekali lagi menggunakan tandukannya untuk menggegarkan gawang Garena Young Lions pada minit ke-11 menjadikan kedudukan Brunei DPMM FC 3-0.

Jaringan Brunei DPMM FC yang keempat dijaringkan oleh Maududi Kasmi pada minit ke-29.

Harapan untuk menang tanpa bolos musnah apabila pasukan lawan menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-46 melalui Shafeeq Faruk.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga-S di antara Pasukan Brunei DPMM FC dan Garena Young Lions di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, semalam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga-S di antara Pasukan Brunei DPMM FC dan Garena Young Lions di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, semalam.
Pemain DPMM FC ketika melepasi dua pemain Garena Young Lions.
Pemain DPMM FC ketika melepasi dua pemain Garena Young Lions.

Kedudukan semakin getir pada babak kedua perlawanan apabila Pasukan Brunei DPMM FC diasak hebat oleh Garena Young Lions yang sebaliknya mencipta banyak peluang dan akhirnya pada minit ke-52 dan ke-59 kedudukan berubah menjadi 4-3.

Ketua Pasukan Garena Young Lions, Khairul Amri memanfaatkan keadaan kucar kacir dan salah faham di bahagian pertahanan Brunei DPMM FC dan menjadikan kedudukan lebih rancak menyaksikan Brunei DPMM FC terpaksa bertahan sehingga minit ke-90.

Gerakan cantik Rafael Ramazotti menewaskan dua pertahanan Garena Young Lions untuk masuk ke dalam petak D pasukan pelawat sebelum insiden beliau dijatuhkan dan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakannya sendiri bagi melengkapi hatriknya pada perlawanan terakhir di tempat sendiri hari ini.

Dengan keputusan tersebut, DPMM FC kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 38 mata di belakang pendahulu Albirex Niigata dan Tampines Rovers di tempat kedua.

Brunei DPMM FC akan meneruskan dua perlawanan terakhir mereka di tempat lawan hujung minggu ini.

ARTIKEL YANG SAMA