DPMM FC berhasrat kekalkan kejuaraan

DPMM FC berhasrat kekalkan kejuaraan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Mengekalkan kejuaraan adalah menjadi objektif utama musim baru Liga Singapura 2016 bagi Pasukan DPMM FC memandangkan perubahan yang mencabar bukan sahaja kepada DPMM FC malah keseluruhan pasukan yang menyertai liga.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih DPMM FC, Steve kean ketika ditemui di Kejohanan Bola Sepak Bawah 11 Tahun, DPMM FC S-League Football Fanfare 2016 di Mini Stadium Jerudong hari ini.

“Kita akan terus mencuba mempertahankan kejuaraan kita dan berharap untuk menjulang piala itu sekali lagi dengan memulakan kempen liga bersama sasaran yang tinggi,” ujar Steve.

Apabila mengulas mengenai edisi pemain tahun 2016 kali ini, beliau belum menyatakan sebarang nama pemain tempatan namun telah memberikan gambaran akan posisi pemain muda di bawah 19 tahun yang berjaya menempah tempat di dalam skuad DPMM FC termasuk penjaga gawang, pemain serangan dan kapten pasukan bawah 19 yang merupakan pemain tengah.

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim berkenan memperkenalkan Zainudin Nordin kepada pemain-pemain DPMM FC.
Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim berkenan memperkenalkan Zainudin Nordin kepada pemain-pemain DPMM FC.
Akademi Kilanas FC yang menjadi juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 11 Tahun, DPMM FC S-League Fanfare 2016.
Akademi Kilanas FC yang menjadi juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 11 Tahun, DPMM FC S-League Fanfare 2016.

Menurutnya, mereka ini akan diberikan kualiti dan peluang yang sama dalam skuad dan jurulatih berasal dari Ireland itu menegaskan ia menjadi pemangkin kepada bakat-bakat muda untuk tampil menyertai kelab berkenaan.

“Kelab berhasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Malaysia seminggu sebelum perlawanan Piala Perdana Komuniti Singapura berdepan Albirex Niigata untuk meraih tiga mata percuma di dalam liga nanti,” ujar Steve lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin pula menegaskan bahawa penglibatan DPMM FC pada Liga Singapura adalah pengalaman yang positif kerana padanya FAS dan Liga S percaya memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak dengan DPMM FC membuahkan keputusan yang dihasratkan.

“Saya ada berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah pada mesyuarat serantau baru-baru ini mengenai pertukaran teknikal dan usaha kerjasama dua hala antara kedua-dua persatuan,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan usaha NFABD dalam pembangunan bola sepak akar umbi adalah penting bagi memastikan kemajuan pemain muda yang melibatkan kerjasama daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

“Kita perlu mula mempertingkatkan anak-anak muda yang berbakat pada peringkat awal lagi supaya mereka ini kenal akan keseronokan dan objektif serta pengajaran daripada permainan dan kita tidak akan tahu ada dalam kalangan mereka akan menjadi bintang ternama satu hari nanti,” tegasnya lagi kepada media.

ARTIKEL YANG SAMA