DPMM FC buka lembaran baru

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Majlis Penandatanganan Kontrak Kelab Bola Sepak Brunei DPMM FC dengan para pemain dan penaja bagi kejohanan bola sepak Liga Singapura (Liga-S) 2018 telah diadakan di The Centrepoint, Gadong, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai.

Seramai 25 pemain terdiri daripada pemain tempatan dan import diberi peluang untuk membarisi skuad Brunei DPMM FC bagi persaingan Liga-S 2018.

Penandatanganan Kontrak Penaja antara Brunei DPMM FC dengan penaja-penaja bagi persaingan Liga-S telah diwakili oleh Pengurus Kelab, Pengiran Haji Muhd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan Pengurus Pemasaran, Haji Awang Momin bin Haji Mohd Ja’afar.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai bersama penaja-penaja Pasukan Brunei DPMM FC.
Penandatanganan kontrak di antara Brunei DPMM FC dengan pemain-pemain.

Tahun ini Brunei DPMM FC menerima tajaan daripada DST, Mitsubishi Corporation, Brunei Shell Marketing Sdn. Bhd., Penerbangan Diraja Brunei (RB), Bank Baiduri, Golden Tree Sdn Bhd, HERTZ, Hui Huang Enterprise (Brunei), Nazmi Textile Mall dan Sport Partnership PTE. LTD.

Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Brunei DPMM FC dengan AKK Design selaku Penerbit Rasmi Brunei DPMM FC MatchDay Magazine 2018 turut dimeterai pada majlis berkenaan.

Ketika ditemui pihak media, Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Rene Weber, yang berasal dari Brazil, sempat mengulas mengenai barisan skuad Brunei DPMM FC yang menggabungkan barisan pemain yang berpengalaman dan pemain muda.

“Bukanlah suatu perkara yang mudah bagi memilih 25 orang barisan pemain Brunei DPMM FC bagi persaingan Liga-S 2018 ini.”

Beliau menambah bahawa ia merupakan satu strategi mempersiapkan pemain-pemain dalam jangka masa panjang, di mana pemain-pemain berpengalaman dapat membantu perkembangan pemain-pemain muda yang berbakat. Ini kerana suatu hari nanti, pemain-pemain muda itu akan membarisi skuad Brunei DPMM FC.

Sementara itu, salah seorang pemain Brunei DPMM FC, Wardun bin Haji Mohd Yusof mengongsikan harapan untuk menjulang kejuaraan liga musim 2018 ini. Beliau berharap dengan kemasukan pemain-pemain muda dalam pasukan, ia dapat mempertingkatkan saingan dan membantu pasukan meraih lebih banyak kemenangan.

Majlis pada petang tadi turut diselajurkan dengan pelancaran jersi baharu Brunei DPMM FC bagi musim 2018.