DPMM FC dekati akar umbi

DPMM FC dekati akar umbi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Menanamkan sifat keyakinan diri yang tinggi, memantapkan disiplin dan sentiasa berfikiran positif, antara perkara yang dikongsikan oleh para pemain DPMM FC kepada para pelajar semasa kunjungan program ramah mesra mereka bersama pelajar Sekolah Menengah Rimba, yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Mengetuai rombongan berkenaan ialah Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean dan dialu-alukan oleh Pengetua Sekolah berkenaan, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof.

Semasa majlis tersebut, Haji Malai Shah Eran turut menyampaikan ucapan berbesar hati bagi pihak sekolah berkenaan untuk mengalu-alukan kedatangan para pemain DPMM FC untuk berkongsi pengalaman kepada para pelajar semasa kunjungan tersebut.

Sesi Penandatanganan autograf para pemain DPMM FC bersama para pelajar sekolah berkenaan.
Sesi Penandatanganan autograf para pemain DPMM FC bersama para pelajar sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih dan pemain Brunei DPMM FC ketika menyampaikan pesanan ringkasnya antara lain memberikan nasihat serta perangsang kepada para pelajar yang juga merupakan pemain akar umbi untuk terus menanamkan sifat dan semangat yang tinggi dalam apa jua bidang termasuklah dalam bidang pelajaran.

Program juga diteruskan dengan sesi soal jawab daripada para pelajar, diikuti dengan sesi ramah mesra dan penandatanganan autograf oleh para pemain DPMM FC.