DPMM FC kalah tipis

DPMM FC kalah tipis

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Setelah mengharungi tujuh perlawanan Liga-S, rekod tanpa kalah DPMM FC lebur selepas tewas di laman sendiri kepada Balestier Khalsa 2-1, sebentar tadi.

Pasukan pelawat berjaya membuka jaringan seawal minit ke-10 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Miroslav Kristic. Balestier kekal di depan pada babak pertama.

Tuan rumah sekali lagi dikejutkan pada awal babak kedua apabila pasukan pelawat berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-47 melalui jaringan Robert Perisic.

Walaupun pasukan pelawat membuktikan penguasaan melalui jaringan di setiap babak permainan, DPMM FC tidak mudah menyerah kalah. Tuan rumah memberikan jawapan pada minit ke-72 apabila Rafael Ramazotti menanduk bola masuk selepas menerima umpanan Azwan Ali.

Ramazotti dikepung oleh tiga pemain Balestier Khalsa dalam aksi Liga-S di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam tadi. - Infofoto
Ramazotti dikepung oleh tiga pemain Balestier Khalsa dalam aksi Liga-S di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam tadi. – Infofoto

Rentak permainan agak menarik tetapi pasukan pelawat lebih menguasai perlawanan berdasarkan jumlah jaringan dan perlawanan boleh dikatakan menarik dengan hanya satu kad kuning dilayangkan pada minit terakhir untuk Ho Wai Loon dari Balestier.

DPMM FC setakat ini menang lima daripada tujuh perlawanan dengan seri dan tewas masing-masing sekali untuk kekal di tangga ketiga dengan 16 mata.