DPMM FC Ke Separuh Akhir

DPMM FC Ke Separuh Akhir

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Pasukan bola sepak negara, DPMM FC, boleh menarik nafas lega apabila berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala Singapura dengan agregat 3-2 walaupun tewas 0-1 dalam perlawanan pusingan kedua menentang Tampines Rovers di Stadium Jurong West hari ini, hasil jaringan Ismadi Mukhtar sejurus sebelum tamat.

Kemaraan skuad DPMM FC itu adalah berdasarkan aksi hebat DPMM FC pimpinan Steve Kean dalam perlawanan pusingan pertama menentang Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar 10 Ogos lalu yang berkesudahan dengan DPMM FC menang selesa 3-1 ke atas anak didik V. Sundram Moorthy. Pertemuan kedua itu dilakukan DPMM FC tanpa pemain penyerang Paulo Sergio yang direhatkan selepas mendapat kecederaan dalam perlawanan terdahulu.

Apa pun, ketiadaan kelibat Sergio tidak mendatangkan masalah kepada skuad DPMM FC kerana dengan kelebihan dua agregat dalam pusingan pertama, DPMM FC hanya memerlukan keputusan seri untuk membolehkannya memasuki separuh akhir Piala Singapura.

Barisan pemain DPMM FC dalam pertemuan pusingan kedua itu ialah Sairol Sahari, Stuart Mc Lean, Azwan Saleh, Azwan Ali, Joseph Gamble, Rosmin Kamis, Boris Raspudic, Aminuddin Zakwan, Rafael Ramazotti, Shahrazen Said dan Wardun Yussof.