DPMM FC kekal terajui Liga-S

DPMM FC kekal terajui Liga-S

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Brunei DPMM FC terselamat dari serangan bertali arus Albirex Niigata di hujung-hujung perlawanan untuk menyelamatkan satu mata selepas seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) malam ini.

Keputusan seri itu membolehkan DPMM FC untuk mengekalkan jaraknya dengan Albirex Niigata yang sebelum perlawanan berakhir berada pada kedudukan ketiga liga dengan 31 mata.

DPMM FC kini mengumpul 36 mata dari 19 permainan untuk terus berada di puncak liga, manakala Albirex berjaya naik ke tangga kedua dengan 32 mata dari 19 permainan, memintas Warriors yang turut mengumpul 32 mata dari 19 perlawanan.

Albirex Niigata memiliki +8 perbezaan gol dari 19 jaringan dan 11 bolos untuknya berada di atas Warriors yang memiliki -2 perbezaan gol dari 32 jaringan dan 34 bolos.

Dalam aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura itu pertahanan kedua-dua pasukan bermain cemerlang meneutralkan setiap serangan lawan tetapi menghampakan penonton yang hadir kerana tiada jaringan terhasil untuk diraikan sehingga perlawanan tamat.

Detik paling mencemaskan buat DPMM FC hadir pada minit ke-88 apabila kekeliruan antara Rosmin Kamis dengan Boris Raspudic membolehkan penyerang Albirex hanya berdepan dengan Wardun Yussof tetapi mujur sepakannya melambung tinggi tatkala Wardun sudah pun tertewas.

Seminit kemudian Albirex mendapat sepakan bebas di luar petak D Brunei DPMM FC, namun sekali lagi gawang Brunei DPMM FC terselamat apabila percubaan itu tersasar keluar.

Memasuki masa-masa kecederaan yang diberikan tiga minit, pasukan tuan rumah terus mengasak pertahanan DPMM FC sehingga dalam satu situasi hantaran lintang bahayanya hampir berjaya disambar penyerangnya di depan gawang tetapi mujur sempat di tanduk keluar Stuart Mc Clean untuk sepakan penjuru.

Detik-detik cemas terus melanda gawang DPMM FC tetapi Albirex berterusan gagal membolosi gawang Brunei DPMM FC sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan untuk memberikan nafas lega kepada anak buah Steve Kean walau sekadar berjaya membawa pulang satu mata.

ARTIKEL YANG SAMA