DPMM FC kutip 1 mata

DPMM FC kutip 1 mata

Oleh H. Asyraf Ali

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Jaringan Azwan Ali berjaya menyelamatkan DPMM FC untuk berkongsi mata dengan Geylang International FC selepas seri 1-1 dalam perlawanan Liga-S di Stadium Bedok, Singapura, malam ini.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan apabila Camarasa Rose menjaringkan gol seawal minit kelima hasil tendangan sudut Sahil.

Manakala pada minit ke-35, gawang DPMM FC hampir-hampir saja dibolosi oleh Stanley Ng dari Geylang International FC, namun Mclean bertindak pantas apabila serangan tersebut dapat dihadang oleh beliau.

Pada babak separuh masa kedua pula, DPMM FC memulakan perlawanan dengan pertukaran pemain dengan memasukkan Azwan Ali dan Shahrezen bagi menggantikan Maududi dan Adi pada minit ke-46.

Peluang DPMM FC untuk mendapatkan gol hadir pada minit ke-58 hasil daripada rembatan Rosmin di luar kotak penalti, namun percubaan beliau tersasar dari gawang lawan.

Antara aksi pemain DPMM FC dan Geylang International FC di Stadium Bedok, Singapura. – Gambar oleh S.League
Antara aksi pemain DPMM FC dan Geylang International FC di Stadium Bedok, Singapura. – Gambar oleh S.League

DPMM FC terus cuba membolosi gawang Geylang International FC, hasil gerakan Hendra di sudut kotak penalti tapi percubaannya itu berjaya dihadang oleh penjaga gol lawan, Syazwan pada minit ke-69.

DPMM FC akhirnya memecah kebuntuan dengan menyamakan kedudukan apabila Azwan Ali berjaya menjaringkan gol pada minit ke-71. Di minit ke 82 pula, DPMM FC sekali lagi membuat pertukaran dengan mengeluarkan Hendra dan memasukkan Azim Izamuddin.

Geylang International FC cuba mengasak DPMM FC pada minit ke-84 hasil gerakan sudut daripada Quak, namun tandukan Aplin terus menuju ke Wardun.

Keputusan 1-1 berpanjangan hingga tamat perlawanan.

Selepas 18 perlawanan, DPMM FC kini menduduki tangga ketiga dengan 26 mata.

ARTIKEL YANG SAMA