DPMM FC langkah kanan

DPMM FC langkah kanan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Perebutan kedudukan ketiga di dalam Liga Singapura Great Eastern Yeo’s tahun 2016 hari ini berpihak kepada Pasukan Brunei DPMM FC apabila berjaya menewaskan pencabarnya Pasukan Hougang United.

Pasukan Brunei DPMM FC meneruskan rekod tanpa kalahnya di tangan Pasukan Hougang dalam tiga pertemuan sebelum ini apabila menang ke atas pasukan itu hari ini dan sekali lagi pada pertengahan Mei 2016 lalu dan seri sekali pada awal Mac 2016.

Dengan kelebihan satu mata sebelum perlawanan hari ini Pasukan DPMM FC mengekalkan kedudukan di tempat ketiga liga dan sekali gus meninggalkan Pasukan Hougang empat mata di belakang, di tempat kelima, di belakang Pasukan Geylang International FC.

Perlawanan di Stadium Jalan Besar hari ini dimulakan dengan tekanan di pihak Brunei DPMM FC apabila seawal minit ke-9 penyerang Hougang menggegarkan gawang Brunei DPMM FC melalui Stipe Plazibat.

Aksi Rafael Ramazotti semasa perlawanan semalam. - Gambar ihsan S.League
Aksi Rafael Ramazotti semasa perlawanan semalam. – Gambar ihsan S.League

Namun pemain serangan bertubuh tinggi berasal dari Brazil, Rafael Ramazotti menjadi wira Brunei DPMM FC apabila menyumbat dua jaringan untuk memastikan tiga mata penuh di pihak Brunei DPMM FC pada minit ke-51 sebelum satu lagi dijaringkan beliau selang dua minit kemudiannya.

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC hari ini menurunkan Reduan Petera, Brian McLean, Azwan Saleh, Azwan Ali, Paulo Sergio, Hendra Azam, Najib Tarif, Rosmin Kamis (Kapten), Aminuddin Zakwan, Rafael Ramazotti dan Wardun Yussof.

Beliau turut memasukkan dua lagi pemain termasuk Maududi Hilmi Kasmi menggantikan Azwan Ali pada minit ke-58 dan Abdul Aziz menggantikan Aminuddin Zakwan pada minit ke-87.

ARTIKEL YANG SAMA