DPMM FC mampu buat lebih baik

DPMM FC mampu buat lebih baik

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Ketua Jurulatih DPMM FC, Steve Kean menekankan bahawa beza antara anak buahnya dengan Pasukan Albirex Niigata (S) terbukti pada separuh masa pertama kerana mereka lebih pantas dengan bola memberikan mereka kelebihan untuk menang ke atas DPMM FC dengan jaringan 3-2 di Stadium Jalan Besar Singapura semalam.

“Mereka menguasai 10 hingga 15 hantaran pertama namun kami mampu merampas kembali kedudukan dan cuba membuat hantaran berbahaya namun rentak masih jadi cabaran besar kami,” ujarnya kepada wartawan ketika mengulas soalan pada sidang media selepas perlawanan itu.

Walau bagaimanapun menurutnya corak permainan jauh lebih baik di separuh masa kedua dengan memasukkan Khairul Anwar untuk membantu Paulo Sergio di bahagian hadapan yang diterajui pemain Brazil, Ramazotti.

Menurutnya, DPMM FC boleh melakukan yang lebih baik lagi apabila mendapat peluang yang terbaik ketika sepakan percuma yang diambil oleh Azwan Ali.

Aksi penjaga gawang DPMM FC Wardun Yussof pada perlawanan tersebut.
Aksi penjaga gawang DPMM FC Wardun Yussof pada perlawanan tersebut.

“Cuba bayangkan jika beliau berjaya menjaringkan gol pasti corak permainan akan berubah,” ujar Steve lagi.

Pasukan Jepun berkenaan menurutnya berjaya mendapat keselesaan apabila menjaringkan jaringan ketiganya membuatkan keadaan dan usaha mengejar lebih sukar.

Dalam masa yang sama Naoki Naruo daripada Pasukan Albirex Niigata (S) menegaskan pasukannya menang kerana mampu mengawal kedudukan di babak pertama namun menyatakan kedudukan ini masih terlalu awal untuk memastikan kemenangan di dalam liga nanti dan mengakui DPMM FC adalah saingan yang bukan calang-calang.

ARTIKEL YANG SAMA