DPMM FC Meterai Surat Tajaan

DPMM FC Meterai Surat Tajaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – DPMM FC hari ini memeterai surat tajaan dalam mempertahankan kejuaraan Liga Singapura yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, di sini.

Berangkat menyaksikan majlis penandatangan itu ialah Timbalan Pengerusi DPMM FC, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Mewakili kelab dalam penandatangan bersama penaja tersebut ialah Pengurus DPMM FC, Pengiran Haji Muhd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan Pengurus Pemasaran Kelab, Haji Awang Momin bin Haji Mohd Ja’afar.

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan syarikat penaja.
Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan syarikat penaja.

Antara pihak penaja yang terlibat ialah DST, Royal Brunei Airlines Sdn Bhd, Mitsubishi Corporation, Maju Motors Sdn Bhd, Brunei Shell Marketing Co Sdn Bhd, Baiduri Bank Berhad, Hertz, Hui Huang Enterprise (Brunei), Nazmi Textile Mall dan Sports Partnership Pte Ltd yang diwakili perwakilan yang terdiri daripada pegawai-pegawai tertinggi masing-masing.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Rahim kemudiannya berkenaan menyampaikan plak tajaan sebagai tanda penghargaan.

Di majlis yang sama Pengurus Pasukan, Haji Ali bin Haji Momin menegaskan kini pasukan DPMM FC giat mengadakan persiapan dalam mempertahankan kejuaraan pada musim lalu dan sekali gus mengejar kejuaraan pada musim baru yang bakal bermula sedikit masa lagi.

Haji Ali turut mendedahkan mengenai penyerapan tiga pemain bawah 19 tahun DPMM FC dan pemantauan pemain daripada liga kebangsaan Brunei namun menyatakan bahawa nama belum lagi dapat didedahkan buat masa ini.

Bercakap mengenai perlawanan persahabatan pula menurutnya DPMM FC kini berbincang dengan beberapa pihak di negara jiran bagi mengadakan perlawanan persahabatan sebelum bermula musim baru Liga Singapura menentang Albirex Niigata pada 13 Februari nanti.

“Saya berharap supaya para pemain akan terus berdisiplin dan bersemangat tinggi untuk menjayakan dan saya yakin sikap itu adalah kunci kejayaan yang perlu pada setiap pemain,” ujarnya sebelum mendedahkan tiga pemain import yang akan dikekalkan antara mereka adalah Brian McLean, Paulo Sergio dan Rafael Ramazotti.

ARTIKEL YANG SAMA