DPMM FC rai pemain akademi

DPMM FC rai pemain akademi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Kelab Bola Sepak Negara, DPMM FC, hari ini meraikan 27 pemain bawah 19 tahun (B-19) yang baru dilantik ke dalam akademi bola sepak kelab tersebut.

Mereka bakal menjalani latihan pertama 15 Jun ini bersama jurulatih kelab DPMM FC yang diketuai oleh Ketua Jurulatih, Steve Kean dengan matlamat pemain yang menyerlah sepanjang latihan berpeluang besar untuk diserapkan ke dalam skuad utama DPMM FC pada masa depan.

Hadir pada majlis itu ialah Pengurus Kelab DPMM FC, Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin, Pengurus Pasukan DPMM FC, Awang Mohammad Ali bin Momin, Ketua Jurulatih, Steve Kean, Penolong Jurulatih, Ampuan Nurul Azami serta para pegawai kelab bola sepak itu.

Dalam ucapan pada majlis taklimat pemain baru itu di Stadium Mini, Jerudong, Awang Mohammad Ali menekankan supaya semua yang terpilih agar taat menghadiri setiap sesi latihan sebelah malam sebagai satu usaha bersepadu untuk menjayakan objektif akademi.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan jika ada pemain sudah mempunyai kelab bola sepak sendiri, sebaliknya mengalu-alukan kecenderungan dan disiplin pemain kerana mereka yang menyerlah dan berjaya mendapat perhatian ketua jurulatih akan berpeluang untuk menyertai skuad utama kelab itu.

Pengiran Haji Mohd Waslimin (lima kiri) bergambar bersama pemain Akademi Bola Sepak DPMM FC dan para pegawai.
Pengiran Haji Mohd Waslimin (lima kiri) bergambar bersama pemain Akademi Bola Sepak DPMM FC dan para pegawai.

Antara disiplin pertama yang amat ditekankan oleh beliau ialah kelab melarang keras perbuatan merokok semasa sesi latihan sambil menasihatkan pemain supaya menghentikan terus tabiat itu kerana ia boleh menjejaskan prestasi jangka panjang.

Selain itu, para pemain juga dinasihatkan supaya tidak ponteng sesi latihan yang telah ditetapkan dan kelab akan hanya mempertimbangkan ketidakhadiran para pemain yang mempunyai alasan munasabah.

Sementara itu, Steve Kean ketika menyampaikan penerangannya berkata, matlamat beliau mengendalikan pemain Kelab DPMM FC bukan hanya tertumpu kepada skuad utama dan pencapaian yang mereka raih sehingga kini, tetapi juga untuk menubuhkan sebuah akademi bagi melatih remaja menjadi skuad pelapis kelab.

Majlis seterusnya disusuli penyampaian surat pelantikan rasmi pemain ke dalam Akademi Bola Sepak DPMM FC yang disampaikan oleh Steve Kean sebelum sesi bergambar ramai bersama para pegawai Kelab DPMM FC.