DPMM FC Rampas Takhta Liga

DPMM FC Rampas Takhta Liga

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – DPMM FC melonjak ke tangga teratas Liga Singapura setelah berjaya mengalahkan Warriors FC 2-0 dalam perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam ini.

Dengan kemenangan itu juga DPMM FC kini mengumpul 29 mata menyamai pasukan pendahulu liga, Albirex Nigata, tetapi mendahului dengan perbezaan gol dengan baki satu perlawanan dalam tangan sementara Warriors FC kekal 28 mata dan turun ke tangga ketiga.

Walaupun perlawanan pada malam ini seimbang dengan serangan demi serangan sering bertukar tangan, DPMM FC yang lebih banyak mengatur hantaran kemas membolehkan Rafael Ramazotti (19) membolosi gawang Warriors dan menyumbatkan gol pembukaan seawal minit ke-36.

Gol kedua DPMM FC dijaringkan Adi Said (20) pada masa tambahan setelah menerima hantaran Awangku Fakhurazzi dan berjaya memperdayakan penjaga gawang Worriors FC, Shahul Rayyan dengan rembatan deras.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan perlawanan Liga-S di antara DPMM FC dan Warriors FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik. - Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyaksikan perlawanan Liga-S di antara DPMM FC dan Warriors FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – Gambar Infofoto
Saat cemas di depan gawang Warrior semasa aksi Liga-S menentang DPMM FC malam tadi.
Saat cemas di depan gawang Warrior semasa aksi Liga-S menentang DPMM FC malam tadi.

Perlawanan babak pertama menyaksikan beberapa serangan berbahaya Warriors FC dengan Nicollas Velez, Miroslav Pejic dan Fazrul Nawwaz yang sering membuat asakan ke gawang DPMM FC. Namun, pertahanan DPMM FC yang kukuh dan kecekapan penjaga gawangnya telah menggagalkan cubaan pihak lawan.

Cubaan paling hampir membuahkan jaringan datang pada minit ke-19 apabila pemain jersi 19 Warriors FC, Irwan Shah mengambil sepakan percuma di luar petak dan nyaris menyumbat gol tetapi dapat diselamatkan oleh penjaga Azman Ilham.

Cubaan bergaya yang hampir menjaringkan gol kedua DPMM FC dibuat pada minit ke-44 oleh Aminuddin Zakwan (18) yang melakukan libasan gunting di depan gawang setelah menerima sepakan sudut Azwan Ali (7). Libasannya lemah itu bagaimanapun mudah diselamatkan oleh Shahrul Rayyan.

Babak kedua perlawanan yang berjalan dalam keadaan hujan itu menyaksikan Warriors FC mengatur lebih serangan berbahaya ke kubu DPMM FC, tetapi kemantapan kubu pertahanan dan penjaga gawang DPMM FC telah menafikan sebarang cubaan pihak lawan.

DPMM FC menutup tirai dengan jaringan Adi Saidi setelah tiga minit perlawanan memasuki masa tambahan, sekali gus mengesahkan keunggulan DPMM FC ke atas Warriors FC.

Sepanjang perlawanan itu juga telah menyaksikan pengadil melayangkan dua kad kuning pertama kepada pemain jersi 10 Warriors FC pada minit 45 dan satu lagi pada minit ke-72 untuk pemain DPMM FC, Joseph Gamble.