DPMM FC sedia hadapi Tampines Rovers

DPMM FC sedia hadapi Tampines Rovers

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC menegaskan kini pasukannya sudah berlatih dalam sesi yang ke-20 dan akan terus berusaha memperbaiki keadaan dan langkah pertama bagi pasukannya adalah untuk mengubah formasi dan memberikan pendekatan asas kepada para pemain.

Menurutnya ketika ditemui di Mini Stadium Jerudong baru-baru ini, para pemain didedahkan dan diberikan pengkhususan kepada permainan tiga lawan tiga, empat lawan empat untuk meningkatkan persefahaman dan corak permainan berbanding permainan individu seperti yang banyak dibuat sebelum ini.

“Kita cuba untuk memecahkan lagi kumpulan kepada unit kecil dan berharap ia akan memberikan impak yang lebih positif kepada permainan dan corak serangan mahupun pertahanan kita apabila berdepan Tampines Rovers FC malam Ahad ini,” tegas Steve Kean.

Beliau menambah “Pada saya jika permainan bola sepak dipecahkan seperti ini, ia akan memberikan ruang kepada kita untuk lebih berjaya dan ia diharapkan supaya ia akan memberikan impak kepada perlawanan yang bakal kita hadapi nanti.”

“Semua keputusan bergantung kepada bagaimana kita berhadapan dan bersaing bersama pihak lawan kerana jika kita pantas pasti kita akan mempunyai kelebihan,” ujarnya lagi sebelum menambah beliau tidak berminat untuk mengulas mengenai pasukan lawan kerana Pasukan Brunei DPMM FC adalah keutamaannya.

Pasukan Brunei DPMM FC dalam latihan sebelum bertolak ke Singapura untuk berdepan Tampines Rovers malam ini.
Pasukan Brunei DPMM FC dalam latihan sebelum bertolak ke Singapura untuk berdepan Tampines Rovers malam ini.

“Saya tidak berminat dengan pasukan lawan kerana apa yang lebih penting kepada saya adalah pemain kita sendiri dan bagaimana merubah kedudukan yang kita tempuhi dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana perasaan hormat pasti ada untuk lawan sesiapa sahaja pun,” katanya kepada media.

Sebelum mengakhiri temu bual, beliau berharap pasukannya akan berusaha mempamerkan persembahan yang menarik memandangkan sebelum ini, Brunei DPMM FC gagal mempamerkan persembahan yang dimahukan.

“Kita tidak mempamerkan persembahan yang menarik sebelum ini dan itu yang kita cuba usahakan kerana pada saya melihat kepada beberapa perlawanan sebelum ini secara jujur ia bukan standard yang Brunei DPMM FC selalu pamerkan dan kita perlu merubah kedudukan itu,” tegas Steve.