DPMM FC terus bersemangat

DPMM FC terus bersemangat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Kemenangan ketika membenam Pasukan Tampines Rovers semalam meletakkan Brunei DPMM FC di takhta kumpulan A diikuti oleh Tampines di dalam Kejohanan Piala Liga Singapura tahun 2016.

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika dihubungi selepas perlawanan semalam, menyatakan perasaan gembiranya dengan keputusan perlawanan dan menegaskan anak buahnya mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan berkenaan.

“Pada kami, kami mempunyai kelebihan meskipun permainan Tampines lebih kemas dan sememangnya bahagian serangan sangat terasa lebih-lebih lagi ketiadaan Paulo Sergio untuk kerja penyudah,” tegasnya.

Menurutnya, Brunei DPMM FC menampakkan permainan yang bersemangat tinggi untuk menghadapi serangan dan asak pihak lawan dan pada masa yang sama mencuri dan mengatur gerakan untuk menembusi pertahanan Tampines.

“Dengan permulaan yang lembab di awal liga yang lalu dan hanya menang empat perlawanan, sudah tiba masanya kita perlu terus mengorak langkah memperbaiki keadaan dan meneruskan perjuangan sebagai satu pasukan,” tegasnya lagi.

Antara aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan pada perlawanan tersebut kelmarin.
Antara aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan pada perlawanan tersebut kelmarin.

Sementara itu, ketua Jurulatih Tampines Rovers, Akbar Nawas pula menegaskan pemainnya hilang fokus dan antara sebab kekalahan itu adalah tekanan untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya memberitahu pemain untuk terus menang dan berharap mereka menunjukkan persembahan yang terbaik dan jelas pemain muda kami tewas dalam pertarungan fizikal meskipun berhempas pulas dalam perlawanan semalam,” ujarnya lagi.

Brunei DPMM FC dibarisi oleh Wardun Yussof, Abdul Aziz Tamit, Yura Indera Putera, Brian McLean, Helmi Zambin, Azwan Salleh, Maududi Hilmi, Najib Tarif, Adi Said, Rafael Ramazotti dan Azwan Ali

Steve Kean turut memasukkan Hendra Azam pada minit ke-10, Azim Izamuddin pada minit ke-46, dan Shahrazen Said pada minit ke-90.

ARTIKEL YANG SAMA