DPMM FC tewaskan Hougang United 3-2

DPMM FC tewaskan Hougang United 3-2

Oleh Fadhil Yunus

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Shahrazen Said menjaringkan gol kemenangan dramatik lapan minit sebelum masa tamat sekali gus memberikan Pasukan DPMM FC memperolehi kemenangan penting 3-2 ke atas Hougang United FC dalam perlawanan terakhir mereka musim ini sehingga Ogos di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.

Penyerang itu yang merupakan pemain gantian, membantu DPMM FC dengan aksi menarik pada perlawanan Liga Singapura dengan menjarakkan perbezaan gol dan memintas bekas penghuni tempat ketiga, Hougang yang mempunyai satu lagi perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah menjaringkan gol pembukaan melalui sepakan Paula Sergio pada minit ke-10. Sejurus selepas 16 minit berlalu, pasukan tuan rumah sekali lagi bertindak agresif dengan menggandakan gol keduanya apabila pemain DPMM FC, Azwan Ali mencetak gol pada minit ke-26.

Paula Sergio ketika menjaringkan gol pertama buat Pasukan DPMM FC dalam perlawanan tersebut.
Paula Sergio ketika menjaringkan gol pertama buat Pasukan DPMM FC dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Pasukan Hougang kemudiannya bangkit daripada kekecewaan apabila berjaya memecahkan kubu pertahanan Pasukan DPMM FC dengan membuka jaringan pada minit ke-55 melalui sepakan Stipe Plazibat.

Empat minit kemudian, Hougang terus mara dengan menyamakan kedudukan apabila Jozef Kaplan menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-59.

Walau bagaimanapun kemaraan Pasukan Hougang tidak bertahan lama apabila pemain DPMM FC, Shahrazen Said kembali memintas pasukan lawan dengan jaringan ketiga pada minit ke-82, sekali gus memberikan kemenangan kepada pasukan tuan rumah.

ARTIKEL YANG SAMA