DPMM FC tunjuk taring

DPMM FC tunjuk taring

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Pasukan bola sepak negara, DPMM FC, kini selesa di tangga teratas Liga Piala Singapura setelah berjaya meraih tiga mata penuh melalui 16 perlawanan ekoran kejayaan mereka menundukkan pasukan Courts Young Lions, 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam ini.

Penyandang pendahulu liga, Albirex Nigata FC, yang sebelum ini menduduki empat teratas dengan 30 mata setelah bermain 17 perlawanan kini terpaksa akur di kedudukan kedua dengan 30 mata, manakala Warriors FC yang juga sudah bermain 17 perlawanan menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 28 mata.

Pasukan DPMM FC menyerlahkan taringnya sejak awal permainan dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu Court Young Lions dan peluang terbuka pasukan DPMM FC pada minit keenam apabila pemain hadapan DPMM FC, Paulo Sergio (8) menyempurnakan tendangan bebas di luar petak penalti dengan baik ke sudut kiri gawang Courts Young Lions yang gagal dihadang oleh penjaga gawang, Syazwan Buhari.

Pasukan DPMM FC terus ampuh menguasai perlawanan dengan gandingan trio Azwan Ali (7), Paulo Sergio (8) dan Joseph Gamble (10) kerap membolosi kubu pertahanan Courts Young Lions dengan beberapa cubaan berbahaya tetapi tidak berupaya disudahkan dengan cemerlang.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bersama kerabat diraja yang lain turun menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bersama kerabat diraja yang lain turun menyaksikan perlawanan tersebut. – Gambar Infofoto

Saat cemas bagi DPMM FC tiba pada minit ke-13 apabila pemain tengah Courts Young Lions, Adam Swandi (17) yang mengambil sepakan percuma di luar petak penalti, ekoran Suria Prakash (32) dikasari, telah membuat sepakan leret yang sedikit tersasar ke sudut kiri gawang DPMM FC.

Gol kedua DPMM FC diraih pada minit ke-26 melalui gandingan serangan oleh Paulo Sergio yang mengumpan bola kepada Azwan Ali lalu terus gelecek melepasi dua pemain pertahanan Courts Young Lions sebelum menolaknya untuk dirembat oleh Joseph Gamble ke gawang lawan.

Babak pertama permainan berakhir dengan insiden pemain tengah DPMM FC, Azwan Ali yang mengasari pemain lawan, dilayangkan kad merah dan diarahkan keluar padang ketika permainan memasuki masa tambahan dua minit.

Hendra Azam (kiri) cuba dihalang oleh pasukan lawan dalam perlawanan semalam. – Gambar Infofoto
Hendra Azam (kiri) cuba dihalang oleh pasukan lawan dalam perlawanan semalam. – Gambar Infofoto

Ketinggalan 0-2 pada babak pertama, pasukan Courts Young Lions bangkit pada babak kedua mengatur serangan demi serangan ke kawasan lawan tetapi beberapa taktik serangan cantik dirancang tanpa aksi penyudah yang mantap, telah mensia-siakan usaha Courts Young Lions untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2 hingga ke wisel penamat.

Sementara Pasukan DPMM FC yang bermain dengan 10 pemain menukar corak permainan kepada taktik defensif pada babak kedua dengan mengukuhkan kubu pertahanan daripada serangan berbahaya pihak lawan.

Selain kad merah yang dilayangkan kepada Azwan Ali, dua kad kuning turut dilayangkan oleh pengadil Muhd Shahir kepada pemain DPMM FC, masing-masing kepada Hendra Azam (9) pada minit ke-54 dan Rosmin Kamis (13) pada minit ke-60.

ARTIKEL YANG SAMA