DPPKB terima kunjungan Perdagangan China

DPPKB terima kunjungan Perdagangan China

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei (DPPKB), hari ini, telah menerima kunjung muhibah daripada rombongan Perdagangan China, Wilayah Zhejiang yang berlangsung di salah sebuah hotel di Berakas.

Kunjungan delegasi Zhejiang yang diketuai oleh Naib Ketua Pengarah, Han Jie, ke negara ini bukan saja sebagai tanda hubungan persahabatan tapi untuk mempromosi ekonomi di antara Brunei dan Wilayah Zhejiang.

Presiden DPPKB, Haji Razali bin Haji Johari semasa ditemui di majlis itu menjelaskan, kunjungan rombongan berkenaan ke Brunei adalah untuk melihat peluang pelaburan di negara ini seterusnya melihat pengendalian pelancongan.

Menurutnya, DPPKB telah menerima banyak lawatan dari China, yang mana baru-baru ini rombongan DPPKB juga telah mengadakan lawatan sambil belajar ke China.

“Dengan adanya kunjungan muhibah delegasi Zhejiang ke Brunei, diharap akan banyak pelabur asing terutama dalam industri makanan, pelancongan dan industri lain seterusnya dapat mengukuhkan lagi hubungan dengan China,” tambahnya.

Pertukaran cenderahati antara NCCI dan Zhejiang.
Pertukaran cenderahati antara NCCI dan Zhejiang.

Sementara itu, Han Jie pula menyatakan bahawa hubungan ekonomi Brunei dan wilayah itu meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan.

Jelasnya, projek Hengyi di Brunei merupakan pelaburan terbesar yang menunjukkan bahawa Brunei adalah pelaburan sempurna yang boleh menarik perusahaan Zhejiang dan percaya projek Hengyi akan menjadi penghubung untuk meningkatkan kerjasama pada masa akan datang dengan Brunei.

Semasa berada di Brunei, katanya, mereka juga berpeluang mengadakan lawatan ke Pulau Muara Besar bagi melihat projek besar yang dilaksanakan dan beliau melahirkan kepercayaan bahawa terdapat aktiviti integriti pelaburan dengan memberi galakan kepada perusahaan Zhejiang untuk datang ke Brunei.

Beliau seterusnya menambah, projek Hengyi ini adalah sebagai mercu tanda kerjasama di antara Zhejiang dan Brunei serta percaya akan lebih banyak lagi peluang pelaburan di samping pelaburan Hengyi.

Wilayah Zhejiang merupakan pengeluar sumber mineral bukan logam, seperti batu arang, alunite, pyrophyllite, simen tuff dan tuff yang digunakan bagi pembinaan, yang terbesar dalam kalangan semua wilayah di China.

Han Jie juga menjelaskan, industri tekstil merupakan salah satu tiang utama ekonomi dalam industri Zhejiang, sementara itu, peralatan mesin merupakan industri terkemuka di wilayah berkenaan.

Bukan setakat itu, wilayah itu juga adalah yang terbesar mengeksport peralatan tenaga, alat-bearing dan sebagainya di negara ini.

Pada kunjungan muhibah itu, rombongan diberikan penerangan ringkas mengenai NCCI yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DPPKB, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad.