DPPKB tinjau perkembangan peladang

DPPKB tinjau perkembangan peladang

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Bagi meninjau kemajuan peladang-peladang Melayu di Brunei Darussalam dan juga membantu ekonomi di Brunei, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei (DPPKB) hari ini telah mengadakan lawatan ke Ladang Kerjasama MPK Lumapas, di Jalan Junjungan.

Lawatan DPPKB ke ladang berkenaan telah diketuai oleh Pengerusinya, Dr. Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib dan disambut oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas yang diketuai oleh Penasihat MPK Lumapas, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal.

Ketika lawatan berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh Dato Paduka Haji Jemat sendiri mengenai ladang berkenaan serta menjelaskan sedikit sebanyak mengenai kekurangan dan kelebihan yang terdapat di ladang berkenaan.

Selesai taklimat, rombongan dibawa melawat ke ladang berkenaan bagi melihat lebih dekat keadaan ladang yang diusahakan oleh penduduk di Kampung Lumapas.

Salah seorang ahli DPPKB, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Haji Duraman ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa tujuan lawatan itu adalah bagi memberikan sokongan penuh serta semangat untuk memajukan lagi perusahaan berkenaan selaras dengan Wawasan 2035.

Ahli-ahli DPPKB dibawa melawat ke ladang berkenaan untuk melihat lebih dekat keadaan ladang berkenaan.
Ahli-ahli DPPKB dibawa melawat ke ladang berkenaan untuk melihat lebih dekat keadaan ladang berkenaan.
Ahli-ahli DPPKB dan MPK Lumapas bergambar ramai sejurus selepas tamatnya lawatan berkenaan.
Ahli-ahli DPPKB dan MPK Lumapas bergambar ramai sejurus selepas tamatnya lawatan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, mungkin berdasarkan kekurangan daripada masalah teknikal di sini, sekurang-kurangnya pihak kami dapat membantu menyarankan kaedah-kaedah bagaimana untuk menyuburkan serta permasalahan seperti berkaitan dengan air dan jenis baja yang susah untuk didapatkan,” tambah beliau lagi.

Dengan adanya hubungan di antara DPPKB dengan MPK Lumapas, beliau berharap ia akan menyatupadukan lagi serta berwawasan kepada memperkembangkan ekonomi Brunei terutama pada masa yang akan datang.

Beliau yang juga Pengarah Urusan RIZa Group serta Riza Fudhlana Farming, juga menambah bahawa syarikat beliau yang menternak ayam akan menyalurkan najis-najis ayam ke Ladang MPK Lumapas untuk dijadikan baja.

Kitar semula berkenaan, jelas beliau, akan dibahagikan secara percuma bagi menyokong dan mendorong peladang-peladang berkenaan serta menjimatkan kos perbelanjaan.