DPPMB terus pacu pertumbuhan ekonomi

DPPMB terus pacu pertumbuhan ekonomi

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) terus mengorak langkah dengan melancarkan ‘DPPMB-The Way Foward’ sempena lebih 50 tahun penubuhannya di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Darussalam Enterprise (DARE) dan tetamu kehormat majlis.

Presiden DPPMB, Dr. Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib pada majlis pelancaran itu berkata, perniagaan Melayu bukan sahaja perlu konsisten, berdaya saing dan menguntungkan tapi perlu lebih bertanggungjawab untuk terus kekal dalam jangka masa panjang.

“Adalah penting etika untuk menggalakkan pertumbuhan yang bertanggungjawab di kalangan perniagaan dengan mewujudkan sosial serta nilai ekonomi melalui matlamat khusus untuk menghasilkan kehidupan yang berdaya tahan bagi membantu mengubah kehidupan orang sebagai pertumbuhan perniagaan,” kata Dr. Haji Kamaruddin.

Di samping itu, DPPMB telah menunjukkan contoh melalui sokongan kepada inisiatif ahli-ahlinya dalam mempromosikan masakan tempatan pada peringkat kampung.

Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew (lima kanan) hadir pada majlis tersebut.
Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew (lima kanan) hadir pada majlis tersebut.
Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don ketika memberi taklimat.
Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don ketika memberi taklimat.

DPPMB juga telah menunjukkan sokongannya kepada penanaman cili yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampong Lumapas yang menghasilkan peluang pekerjaan untuk orang Melayu tempatan,” jelasnya.

Selain itu, dewan ini juga menunjukkan sokongannya kepada ladang ayam tempatan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ibu tunggal dan membantu menggalakkan industri kampung di mana usahawan muda mempromosikan produk tempatan mereka.

Bagi menyediakan ruang kepada ahlinya untuk berkongsi pandangan dan mengadakan perbincangan interaktif mengenai realiti semasa perniagaan serta sokongan yang diperlukan, DPMMB telah mewujudkan ruang terbuka seperti siri World Cafe.

Dr. Haji Kamaruddin seterusnya menambah, DPPMB percaya apabila adanya kepelbagaian pemikiran, ia berfungsi sebagai penyatu yang berkuasa untuk memanfaatkan pemikiran unik dan peluang yang berkaitan dengannya.

Tetamu yang hadir terdiri daripada para peniaga dan sektor swasta di negara ini juga berpeluang mendengar taklimat yang disampaikan oleh ahli dewan dengan beberapa skop penting dalam DPPMB.

ARTIKEL YANG SAMA