Dr. Haron Din meninggal dunia di AS

Dr. Haron Din meninggal dunia di AS

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din meninggal dunia hari ini di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) akibat komplikasi jantung, kata Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan.

Beliau berkata Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia).

Katanya Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNya dan mengampuni Almarhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dalam kalangan hambaNya yang soleh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media tempatan melaporkan Allahyarham berada dalam keadaan kritikal akibat pendarahan teruk dan bergantung kepada mesin sokongan hayat.

KL09_160916_DR HARON DIN

Nasrudin berkata keluarga Haron dijangka memberi maklumat selanjutnya mengenai urusan pengebumiannya.

Pada Mac lepas, Haron dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford University pada 2 April 2012.

Haron meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Salleh dan dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Allahyarham menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac 2015 bagi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Februari akibat kanser prostat. – Bernama