Dr Patau Rubis meninggal dunia

Dr Patau Rubis meninggal dunia

KUCHING, 20 Mac (Bernama) – Pengasas Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Patau Rubis meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 petang tadi.

Menurut sumber parti, Dr Patau, 70, yang juga bekas Presiden STAR rebah ketika mempengerusikan mesyuarat agung tahunan parti itu di sebuah hotel di sini sebelum segera dibawa ke HUS.

Dr Patau, bekas Menteri Muda Bagi Kewangan dan Kemudahan Awam Sarawak, pernah disingkirkan daripada jawatan Naib Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana didakwa menyokong calon Bebas yang bertanding menentang BN pada pilihan raya Parlimen pada 1995.

Beliau kemudian mengasaskan dan menerajui STAR, yang ditubuhkan pada 9 Okt 1996.

Dr Patau merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Tasik Biru sehingga 1996 dan Anggota Parlimen bagi Mas Gading sehingga 1999. Kedua-dua kawasan itu adalah di daerah Bau.