DRB-HICOM akan kekalkan Proton

DRB-HICOM akan kekalkan Proton

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – DRB-HICOM Bhd akan terus mengekalkan Proton sebagai jenama kereta nasional yang telah menjadi legasi industri automotif dan terus menyumbang faedah ekonomi kepada negara.

Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata Proton telah menyumbang banyak kepada negara seperti pekerjaan, cukai, penyelidikan, pembangunan serta lain-lain lagi.

Beliau menafikan laporan kononnya bahawa DRB-HICOM akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd, sambil berkata bahawa jenama itu adalah sebuah ikon Malaysia.

“Saya tidak fikir Proton akan berhenti, atau DRB-HICOM akan berhenti,” katanya semasa pelancaran Pos Laju EziDrive-Thru oleh Pos Malaysia Bhd, sebuah anak syarikat DRB-HICOM dengan kepentingan 53.5 peratus.

Khamil, yang telah berkhidmat se-bagai Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Proton Holdings dari 19 Mac 2012 hingga 16 Mei 2014, berkata demikian sebagai respons kepada soalan seorang wartawan mengenai laporan

potensi pelupusan keseluruhan kepen-tingan DRB-HICOM dalam Proton baru-baru ini.

“Saya tidak lagi berada dalam pengurusan Proton tapi saya melihat pembuat kereta itu sedang menuju ke tempat yang betul sekarang. Dari hari pertama apabila DRB-HICOM memperoleh Proton Holdings (pada 15 Mac 2012), ia sentiasa berhasrat untuk mencari rakan strategik.

“Kami mengakui walaupun ia menjadi satu-satunya kereta nasional di negara ini termasuk di rantau ini, Proton Holdings tidak akan mampu untuk berkembang atau menghasilkan lebih banyak kereta tanpa rakan strategik, kerana kami adalah sebuah industri yang masih muda di Malaysia.

“Kami sentiasa berniat untuk tujuan itu dan kami sentiasa mencari. Malahan, kami ada terlibat dalam satu perbincangan, malangnya disebabkan isu-isu, terma dan syarat-syarat tertentu, kami tidak dapat memuktamadkan perjanjian itu.

“Sekarang, dengan pengurusan baharu Proton Holdings, saya fikir ia akan dapat bekerjasama dengan kerajaan dan kami menghargai keprihatinan kerajaan kepada industri dan menyokong Proton,” katanya.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, berkata, ia menolak penjualan keseluruhan Proton.

Dilaporkan, Proton Holdings ketika ini sedang melaksanakan langkah Permohonan Untuk Cadangan bagi mencari rakan kongsi.

Langkah itu dijangka akan selesai pada suku tahun pertama 2017 dan menghindarkan pelupusan keseluruhan kepentingannya dalam kumpulan tersebut, katanya.

Proton Holdings berkata, pelaksanaan RFP dikawalselia oleh satu Jawatankuasa Pasukan Petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi memantau pemulihan Proton.

Saham-saham DRB-HICOM di Bursa Malaysia menokok sebanyak enam sen untuk ditutup pada RM1.22 dengan 14.2 juta saham diniagakan hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA