Dreamliner pertama buat penerbangan Saudia

Dreamliner pertama buat penerbangan Saudia

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Boeing hari ini menyerahkan dua pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan sebuah 777-300ER kepada Saudia, syarikat penerbangan negara Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Boeing berkata ia akan menyerahkan Dreamliner ketiga kepada syarikat penerbangan itu minggu depan.

Saudia menempah lapan 787-9 pada 2010, kata Boeing.

“Penyerahan kepada Saudia ini adalah saat yang bermakna dalam kerjasama yang berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu.

“Hari ini kami bangga, bukan sahaja kerana Saudia menyertai pangkalan pelanggan 787 kami di Timur Tengah, tetapi juga kerana keyakinan berterusan syarikat penerbangan itu terhadap teknologi dan pesawat udara Boeing selama ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Boeing, Ray Conner.

Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang diserahkan kepada syarikat penerbangan Saudia. – Reuters
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang diserahkan kepada syarikat penerbangan Saudia. – Reuters

Sementara itu, Ketua Pengarah Saudi Arabian Airlines (Saudia), Saleh Nasser al-Jasser berkata penyerahan pesawat Dreamliner pertama syarikat tersebut menandakan bermulanya bab baharu dalam hubungan Saudia dan Boeing yang bermula pada 1960-an.

“Mempunyai reputasi bagus dari segi kebolehpercayaan, kecekapan operasi dan keselesaan, kami gembira dengan ketibaan 787 sebagai sebahagian armada Saudia dalam usaha kami memodenkan dan mengembangkan armada yang merupakan sebahagian daripada pelan transformasi kami,” katanya.

Syarikat itu kini mempunyai 48 pesawat Boeing dalam armadanya termasuk 777-200ER, 777-300ER dan 747-400. – Bernama