Drinkwater masih mahu England – Vardy

LONDON, 13 Nov – Jamie Vardy menegaskan Danny Drinkwater tidak mengetepikan England selepas bekas rakan sepasukannya di Leicester itu menolak peluang untuk mewakili negara dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa terkini. Drinkwater dikatakan mengecewakan pengendali England, Gareth Southgate minggu lalu apabila dia menarik diri daripada skuad menjelang perlawanan menentang Jerman dan Brazil.

Pemain tengah Chelsea itu berkata, dia tidak berada pada tahap kecergasan sepenuhnya selepas masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan betis yang bermula sejak dia menyertai juara Inggeris itu.

Ia bukan kali pertama Drinkwater menolak tugasan bersama pasukan kebangsaan dan komitmennya kepada negara mula dipersoalkan sesetengah pihak.

Namun Vardy, yang memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Drinkwater di Leicester dua tahun lalu, yakin pemain 27 tahun itu masih bersemangat untuk menyarung jersi England.

“Saya rasa dia masih mahu bermain untuk negara tetapi, secara jujurnya, dia masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan,” kata Vardy.

“Dia mengalami kecederaan sebelum ini dan perlu mendapatkan semula ketajamannya di dalam permainan. Dia sedang melakukannya bersama Chelsea sejak beberapa minggu ini dan perlu meneruskannya.

“Dia pasti mendapat peluang disenarai dalam skuad apabila dia cergas. Jika dia beraksi pada tahap terbaiknya mengapa tidak?. Dia perlu disenaraikan tetapi terpulang kepadanya untuk memberikan persembahan terbaik.”

Drinkwater dilaporkan kecewa apabila keputusannya untuk menolak panggilan aksi persahabatan itu diperbesarkan, namun dia bertekad untuk kembali merebut tempat menjelang Piala Dunia di Russia tahun depan. – AFP