Drogba belum mahu bersara

Drogba belum mahu bersara

LOS ANGELES, 7 Jan – Didier Drogba menafikan laporan persaraannya dan berkata beliau belum buat keputusan mengenai masa depan ketika spekulasi mengatakan kemungkinan dia mengalas tugas dalam kejurulatihan bekas kelabnya, Chelsea.

Penyerang Montreal Impact itu memberitahu, beliau masih berbincang dengan kelab Major League Soccer itu sejak menyertainya tahun lalu.

“Gembira menerima berita ini tetapi saya belum buat pengumuman tentang persaraan dan masih dalam perbincangan dengan @impactmontreal mengenai masa depan saya,” katanya menerusi laman sosial Twitter miliknya.

Sebelum itu, laporan L’Equipe menyebut legenda Ivory Coast itu sudah memaklumkan rancangan persaraan kepada Montreal Impact dan kembali ke Chelsea.

Masa depan Drogba menjadi tajuk utama sejak dilihat duduk bersama pemilik The Blues, Roman Abramovich dan pengurus, Guus Hiddink ketika aksi dengan Sunderland, bulan lalu.

Montreal juga dilaporkan enggan melepaskan Drogba ketika kontraknya masih ada sehingga musim 2016 selepas penyerang 37 tahun itu membuat permulaan musim lalu dengan cukup hebat apabila meledak 11 gol dalam 11 perlawanan. – AFP