Drogba ingin kembali ke MLS

Drogba ingin kembali ke MLS

LONDON, 25 Jan – Didier Drogba memberi bayangan dia akan kembali ke kelab Major League Soccer (MLS), Montreal Impact, sekali gus menamatkan spekulasi mengaitkan kepulangannya dengan bekas kelabnya Chelsea.

Penyerang prolifik itu menghantar tweetny semalam bahawa dia “dalam perjalanan ke Qatar untuk membuat persiapan aksi pra-musim.” Sepak mula musim MLS bermula pada Mac ini.

Drogba, 37, menyertai Montreal pada Julai lalu dan menjaringkan 11 gol dalam 11 perlawanan, untuk membantu pasukan itu meraih tujuh kemenangan, tiga kekalahan dan satu seri sepanjang di sana.

Kontraknya dikatakan sehingga akhir tahun ini. Bagaimanapun, wujud laporan bahawa Drogba sedang berbincang dengan Chelsea dan pemilik Roman Abramovich untuk menyertai barisan kejurulatihan sekali gus meninggalkan zaman sebagai pemain.

Drogba dilihat duduk bersama Abramovich dan pengurus Guus Hiddink dalam satu aksi Chelsea, Disember lalu, menguatkan khabar angin bahawa dia mungkin akan pulang ke Stamford Bridge.

Montreal mengesahkan Drogba berminat untuk membantu Chelsea, tetapi bekas penyerang Ivory Coast itu menafikan bahawa dia mahu bersara.

Drogba beraksi selama sembilan musim bersama Chelsea, menjaringkan 164 gol dalam semua pertandingan dan mengetuai kejayaan kelab Liga Perdana Inggeris itu meraih gelaran liga Juara-Juara pertama pada kempen 2011-12.

Dia sebelum ini pernah berhijrah ke China untuk beraksi bersama Shanghai Shenhua dan di Turki dengan Galatasaray. – Reuters