Dron bantu kapal navigasi Antartika

Dron bantu kapal navigasi Antartika

SYDNEY, 23 Dis (AFP) – Kapal pemecah ais Australia untuk kali pertama telah menggunakan teknologi dron untuk belayar di perairan Antartika, mengatasi halangan teknikal yang besar, kata pegawai hari ini.

Kapal Aurora Australis sedang mengadakan pelayaran pembekalan semula tahunan ke stesen penyelidikan Casey di Australia dengan gambar keadaan lautan ais daripada dron quadcopper sekaligus membantu membuat keputusan pengemudian.

Divisyen Antartika Australia berkata kenderaan udara kawalan jauh (UAV) itu terbukti satu tambahan bernilai kepada alat pelayaran lautan ais yang ada sekarang, yang termasuk imej satelit dan radar.

Namun ia tidak berjalan lancar dalam keadaan di bawah sifar.

“Alat elektronik berkenaan tidak suka salji, bateri tidak suka keadaan sejuk, dan kompas dron tidak suka beribu-ribu tan keluli dalam kapal,” kata pengarah UAV Australia James Rennie.

Teknologi dron ini akan digunakan oleh kapal pemecah ais untuk belayar di perairan Antartika.
Teknologi dron ini akan digunakan oleh kapal pemecah ais untuk belayar di perairan Antartika.

“Disebabkan kompas tidak dapat menentukur di kapal dan keperluannya untuk bekerja bersama GPS unit, timbulnya potensi untuk UAV bertindak di luar ramalan.

“Kami mendapati dengan mengeluarkan GPS dan menerbangkan dron dalam mod manual sepenuhnya membolehkan dron beroperasi dengan berjaya dan memberikan gambar yang diperlukan.”

Dron itu menjalankan lima misi ketika pelayaran sembilan hari ke Casey, dengan keputusan mengenai penggunaannya yang lebih tetap untuk pelayaran akan dibuat selepas satu kajian ke atas penerbangan berkenaan.

Australia mempunyai empat stesen di kawasan gersang Antartik dan Aurora Australis telah pun mengadakan pembekalan semula ke kota kara Davis. Ia juga dijadualkan mengunjungi Mawson dan Macquarie Island, menghantar bahan api, bekalan dan ahli ekspedisi untuk tahun akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA