Dron bantu operasi mencari mangsa terakhir

Dron bantu operasi mencari mangsa terakhir

SRI AMAN, 8 Mei (Bernama) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa keenam dan terakhir nahas helikopter di Batang Lupar turut dilakukan menggunakan teknologi dron hari ini.

Mangsa yang masih hilang ialah juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Dua petugas Unit Dron, Perkhidmatan Maklum Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 Telekom Malaysia, telah didatangkan khas dari Kuala Lumpur bagi membantu membuat pemantauan udara.

Seorang pengendali dron berkenaan, Shaiful Zamri Masri, 42, berkata dua model dron iaitu Phantom 4 dan Inspire 1 digunakan untuk tujuan membantu operasi pencarian.

Alat itu masing-masing mampu terbang selama 20 minit dengan jarak sehingga lima kilometer dan ketinggian sehingga 122 meter, katanya di pusat operasi SAR Lingga.

Anggota Unit Dron mers999 Telekom Malaysia, Muhammad Afiq Sadali (dua, kanan) dan Shaiful Zamri Masri (tengah) dikerah bagi membantu mencari dan menyelamat dengan menggunakan teknologi dron dengan merakam dan mengambil video di sekitar kawasan kejadian helikopter terhempas kelmarin. - Bernama
Anggota Unit Dron mers999 Telekom Malaysia, Muhammad Afiq Sadali (dua, kanan) dan Shaiful Zamri Masri (tengah) dikerah bagi membantu mencari dan menyelamat dengan menggunakan teknologi dron dengan merakam dan mengambil video di sekitar kawasan kejadian helikopter terhempas kelmarin. – Bernama

“Dua dron ini akan mengambil gambar dan juga video. Jika ada sebarang penemuan kita akan maklumkan kepada pusat operasi SAR.

“Setiap data yang diperoleh akan dikongsi bersama pasukan SAR,” kata Shaiful Zamri yang berpengalaman membantu SAR ketika gempa bumi di Sabah tahun lepas.

Manakala Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata Sonar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi aset terbaharu digunakan untuk mencari mangsa terakhir dan badan utama helikopter susulan nahas Khamis lepas.

“Kita harap peralatan ini dapat membantu mengesan di mana bangkai helikopter berada. Kita juga merancang memanggil Jabatan Perikanan untuk bantu SAR menggunakan pukat yang sesuai,” katanya pada sidang media di pusat operasi SAR Lingga di sini hari ini.