Drone digunakan nilai kawasan bencana

Drone digunakan nilai kawasan bencana

KUNDASANG, 10 Jun (Bernama) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia bekerjasama dengan Malaysian Emergency Response System (MERS 999) melakukan tinjauan dan pemetaan ke atas kawasan yang terjejas akibat gempa bumi Jumaat lepas dengan menggunakan unit UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) atau ‘drone’.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata drone yang digunakan dalam proses itu berkapasiti tinggi yang boleh melakukan penerbangan sehingga dua jam.

“Pada hari ini, kita akan uji satu daripada cara hendak buat penilaian kerosakan yang berlaku di kawasan ini dan kita akan menggunakan UAV drone untuk membuat perkara itu.

“Kita ada membawa tiga buah drone berkapasiti tinggi yang boleh terbang selama dua jam untuk membuat tinjauan dan melihat secara langsung melalui monitor yang disediakan dengan resolusi definisi tinggi,” katanya dalam sidang media di pusat operasi di Taman Kinabalu, di sini hari ini.

Drone yang digunakan bagi tujuan tinjauan kawasan terjejas gempa. – Bernama
Drone yang digunakan bagi tujuan tinjauan kawasan terjejas gempa. – Bernama

Ahmad Shabery juga sempat menyaksikan demonstrasi operasi penerbangan drone yang dilakukan di pekan Kundasang pagi ini.

Sementara itu, pengarah Projek MERS 999 TM Roznah Anas berkata alat yang dilengkapi sistem kamera itu mampu merakamkan gambar dari udara dengan jelas bagi membuat penilaian dengan lebih efisien.

Selain itu, drone berkenaan juga mampu diterbangkan dalam keadaan kelajuan angin maksimum iaitu 40 knot.