DSA serlahkan potensi industri pertahanan

DSA serlahkan potensi industri pertahanan

KUALA LUMPUR, 21 April – Susulan dua puluh empat kontrak pertahanan bernilai RM2.9 bilion ditandatangani dan 1,200 pempamer menyertai pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-15, industri pertahanan dan keselamatan terbukti tidak goyah di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

“Saya secara jujur menyatakan bahawa DSA mempunyai kelengkapan terbaik walaupun menghadapi cabaran ekonomi global,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan penutup.

Malahan Menteri Negara United Kingdom bagi Perolehan Pertahanan, Philip Dunne percaya Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada industri yang berkembang itu.

Beliau berkata, Malaysia berpotensi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berimpak tinggi kerana kontraktor utama British menawarkan produk global manakala perniagaan berkembang dengan begitu pesat.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang mendapat manfaat daripada acara itu, tetapi begitu juga negara-negara lain dengan pemain baharu industri yang menampakkan kehadiran mereka pada pameran tersebut.

Beberapa orang wanita mengambil kesempatan bergambar bersama di atas sebuah kereta perisai ketika Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di PWTC Kelmarin. – Bernama
Beberapa orang wanita mengambil kesempatan bergambar bersama di atas sebuah kereta perisai ketika Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di PWTC Kelmarin. – Bernama

Antaranya ialah Belarus, Bosnia, Kanada, Belanda, Persekutuan Rusia, Emiriah Arab Bersatu dan Ukraine.

Hishammuddin berkata ini menunjukkan keyakinan di kalangan pemain baharu pasaran yang berpotensi.

Di samping menjadi platform terbaik untuk perniagaan, DSA 2016 juga mengadakan beberapa persidangan dan aktiviti berimpak tinggi.

Antara acara kemuncak adalah Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat (Carta), Forum Keselamatan Cyber, Chemical Biological Radiological Nuclear Explosive Conference (CBRNE), Humanitarian Assistance and Disaster Relief Conference (HADR) dan Forum Putrajaya.

DSA ialah pameran pertahanan yang terbesar di Asia dengan menghimpunkan pemain industri dari 60 negara dan pelawat perdaganghan dari 77 negara.

Ia menjadi pentas utama bagi pemain industri untuk memperkenalkan produk, bertukar-tukar idea dan teknologi, menjalin perfkongsian dan melaksanakan kolaborasi strategik dan sinergistik. – Bernama