DSP ditahan reman, disyaki terima rasuah

DSP ditahan reman, disyaki terima rasuah

KOTA KINABALU, 20 Jun (Bernama) – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP), ditahan reman lima hari bermula hari ini, kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM5,000.

Pegawai polis berumur 43 tahun berkenaan ditahan di parkir Lot Market 88 Kepayan, dekat sini, kira-kira 10 pagi semalam.

Pegawai polis berkenaan disyaki menerima wang itu daripada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menutup kes pengadu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan pegawai polis berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.