DSP United belasah AKSE Bersatu 4-0

DSP United belasah AKSE Bersatu 4-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Ledakan gol pada minit ke-11 oleh pemain jersi 11 DSP United, Muhammad Hanis bin Haji Osman menjadi jaringan pembuka tirai Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 dalam kemenangan 4-0 pasukannya ke atas AKSE Bersatu malam tadi.

Membuka rasmi liga anjuran Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei & Muara (PBDBM) yang berlangsung di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan Kementerian Kesihatan, Haji Mahrub bin Haji Murni.

Beliau telah diperkenalkan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, AKSE Bersatu dan DSP United sebelum memukul gong tiga kali bagi menandakan bermulanya liga yang disertai 18 buah pasukan itu.

Pasukan-pasukan itu telah dibahagikan kepada tiga kumpulan yang mengandungi enam pasukan setiap kumpulan.

Kumpulan A mengandungi PESERJA FC, IKERAB FC, MSN United FC, Dagang FT, Sporting Family Team dan Seri Wira FC. Kumpulan B pula diisi oleh Rainbow FC, Sewira FC, Savilla FC, Seri Bolkiah, TelBru FT dan Al-Idrus FT. Bersaing dalam Kumpulan C ialah Kilugus FC, Bakes FT, DSP United AKSE Bersatu, Bebuloh FC dan Plan Batu FC.

Pemain Jersi 11 DSP United (merah), Muhammad Hanis menjadi penjaring pertama Liga Bolasepak Daerah Brunei&Muara 2015 dengan jaringannya pada minit ke-11.
Pemain Jersi 11 DSP United (merah), Muhammad Hanis menjadi penjaring pertama Liga Bolasepak Daerah Brunei&Muara 2015 dengan jaringannya pada minit ke-11.

Liga akan dijalankan di empat venue perlawanan iaitu Kompleks Sukan Berakas, Padang & Balapan, KSNHB, Kompleks Sukan Sungai Kebun dan Padang Polo Jerudong.

Dalam aksi perlawanan dua pasukan dari Kumpulan C malam tadi berkenaan, DSP United sudah selesa di depan dengan jaringan 3-0 pada separuh masa pertama, yang bermula dengan jaringan Muhammad Hanis pada minit ke-11.

Gol keduanya hadir pada minit ke-32 menerusi jaringan Abdul Qayyum Aziz disusuli dengan jaringan ketua pasukannya, Mohamad Nazri bin Haji Hassan lima minit kemudian.

Separuh masa kedua berlangsung 42 minit tanpa sebarang gol dihasilkan walaupun AKSE Bersatu berpeluang besar mendapatkan satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-82.

Namun bola sepakan Mohammad Ya’akub bin Haji Matyassin hanya menggesel di tengah-tengah palang atas DSP United.

Lima minit selepas sepakan penalti AKSE Bersatu itu, DSP United berjaya menambah jaringannya menerusi sepakan sudut dari sebelah kanan gawang AKSE Bersatu yang berjaya ditanduk oleh pemain pertahanan tinggi lampainya, Luc Devaux dari Perancis.