DSP United belasah Bakes FT 7-0

DSP United belasah Bakes FT 7-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – DSP United meraih kemenangan keduanya dari dua perlawanannya setakat ini dalam Liga Bola Sepak Daerah Brunei & Muara 2015 apabila membelasah Bakes FT 7-0 di Padang Polo Jerudong malam tadi.

Abdul Qayyum Aziz menyumbangkan empat gol dalam pesta gol itu bermula dengan dua jaringannya pada separuh masa pertama. Gol pertamanya hadir menerusi tandukan dari hantaran sepakan sudut rakannya pada minit ke-8 manakala yang kedua menerusi sepakan kencang dari dalam petak Bakes FT pada minit ke-10.

DSP United mendahului 3-0 apabila Awang Arifubillah Masli menjaringkan gol dari serangan sayap kiri pada minit ke-16.

Abdul Qayyum mencetak hatriknya pada minit ke-60, disusuli dengan jaringan Muhd Fawzan Abu Kassim untuk DSP United mendahului 5-0 pada minit ke-68. Mohd Aisamuddin Haji Jali mencatat namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-85, disusuli dengan jaringan keempat peribadi Abdul Qayyum selang seminit kemudian untuk catatan muktamad 7-0 memihak DSP United.

DSP United kini mengumpul 6 mata setelah turut menewaskan lawan pertamanya dalam Kumpulan C iaitu AKSE Bersatu dengan jaringan 4-0 semasa perlawanan pembuka tirai liga pada Ahad, 20 September lalu.

ARTIKEL YANG SAMA