DSP United FC mara pusingan akhir

DSP United FC mara pusingan akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Juara Kumpulan C, DSP United FC menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir ‘Liga 3-Penjuru Satu Pusingan’ Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 apabila menang tipis 2-1 ke atas naib juara Kumpulan B, Seri Bolkiah FC di pusingan kedua liga malam tadi.

Aksi yang bermula pukul 8:00 malam di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan bahaya yang boleh saja menghantar antara keduanya ke pusingan akhir jika menepati sasaran.

Separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan mempunyai banyak peluang untuk meledakkan jaringan.Sebelas minit selepas rehat barulah perlawanan menyaksikan satu jaringan yang dihasilkan oleh Pengiran Ahmad Zulmajdi bin Pengiran Haji Rajid untuk memberikan DSP United FC pendahuluan 1-0.

Perlawanan terus berlangsung sengit sehingga tiada siapa dapat menyangkal bahawa jaringan akan terhasil juga akhirnya dan terbukti pada minit ke-70 yang sekali lagi memihak kepada DSP United FC, yang turut dihasilkan oleh Pengiran Ahmad Zulmajdi untuk DSP United FC semakin selesa di depan, dengan jaringan 2-0.

DSP United menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir Liga Bolasepak DBM 2015 selepas menang 2-1 ke atas Seri Bolkiah malam tadi.
DSP United menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir Liga Bolasepak DBM 2015 selepas menang 2-1 ke atas Seri Bolkiah malam tadi.

Seri Bolkiah bagaimanapun masih belum berputus asa dan terus berusaha merobek pertahanan DSP United FC dan mereka berjaya melakukannya pada minit ke-75 hasil ledakan oleh Awang Mohd Hafiz bin Zulkifli.Pada kedudukan 2-1, Seri Bolkiah terus beraksi garang mencari gol penyamaan, manakala DSP United semakin resah tetapi tetap bertahan cemerlang untuk menggagalkan setiap serangan lawan sehinggalah ke wisel penamat untuk menarik nafas lega berjaya mara ke pusingan akhir.

Perlawanan pusingan kedua seterusnya adalah malam ini (Selasa, 1 Mac), yang merupakan pertemuan di antara naib juara Kumpulan A, IKERAB FT dengan juara Kumpulan B, Al-Idrus Junior FT, bermula pukul 8:00 malam di KSSK.Perlawanan terakhir pusingan kedua pula adalah di antara naib juara Kumpulan C, Plan Batu dengan juara Kumpulan A, MSN United FC, yang dijadualkan berlangsung esok (Rabu, 2 Mac) di KSSK, juga pada pukul 8:00 malam.

Selepas tiga perlawanan pusingan kedua itu selesai dijalankan, tiga pasukan yang menang dalam fasa kalah mati itu akan mara ke pusingan akhir dan berentap dalam ‘Liga Satu Pusingan’ (Round Robin) bagi menentukan pasukan mana yang layak bergelar juara, naib juara dan tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA