DSP United FC pertahan kemaraan

DSP United FC pertahan kemaraan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – DSP United FC membuktikan ia kekal relevan dalam perebutan gelaran juara Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 apabila membelasah MSN United FC 7-0 malam tadi.

Bagaimanapun DSP United FC kini hanya perlu menanti dan berharap MSN United FC membantunya dengan mengejutkan Al-Idrus Junior FT pada perlawanan ketiga dan terakhir ‘Pusingan Akhir Tiga Penjuru’ berkenaan pada esok malam, 9 Mac.

Pada perlawanan terakhir esok, Al-Idrus Junior FT hanya perlu seri untuk dimahkotakan sebagai juara Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 kerana sudah mengutip tiga mata hasil kecemerlangan menewaskan DSP United FC 4-1 pada 5 Mac lalu.

Perlawanan kedua pusingan akhir di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) antara juara Kumpulan C, DSP United FC dengan juara Kumpulan A, MSN United FC itu menyaksikan DSP United FC selesa mendahului dengan kedudukan jaringan 5-0 sebelum rehat dan menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua.

DSP United FC membelasah MSN United FC 7-0 pada perlawanan kedua pusingan akhir Liga Bolasepak DBM 2015 malam tadi.
DSP United FC membelasah MSN United FC 7-0 pada perlawanan kedua pusingan akhir Liga Bolasepak DBM 2015 malam tadi.

Awang Mohd Faizal berpesta gol dengan sumbangan empat gol iaitu dua gol pada babak pertama (minit ke-29 dan 37) untuk gol keempat dan kelima DSP United FC dan dua gol lagi pada babak kedua (minit ke-54 dan 78) untuk gol keenam dan ketujuh.

Gol pertama DSP United FC hadir seawal minit ke-3 hasil jaringan Awang Mohd Nazri sebelum kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-12 menerusi jaringan pemain importnya, Luc Devaux. Sementara itu, Awang Mohd Nazri pula mencatat namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-20 untuk gol ketiga DSP United FC.

Perlawanan terakhir pusingan akhir yang dijalankan secara liga satu pusingan bagi tiga juara kumpulan berkenaan dijadualkan berlangsung esok, 9 Mac antara MSN United FC dengan Al-Idrus Junior FT bermula pukul 8:15 malam di KSSK.

ARTIKEL YANG SAMA