DSP United mara pusingan ketiga

DSP United mara pusingan ketiga

TUTONG, 22 Okt – DSP United menjadi pasukan kedua Kelab Non-Liga yang berjaya melangkah ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015 apabila mudah mengenepikan cabaran Kelab Liga Perdana DST 2015, BESA FC dengan jaringan 5-1 malam tadi.

Walau bagaimanapun BESA FC lebih awal mendahului perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu dengan jaringan 1-0 apabila Hasmadi bin Wahid menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12.

Mohd Faisal bin Ahad meledakkan jaringan pertama DSP United pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan 1-1, sebelum Luc Devaux dari Perancis meledakkan jaringan dalam masa kecederaan untuk DSP United membawa pendahuluan 2-1 ke separuh masa kedua.

Tatkala BESA FC dijangka bertukar agresif pada babak kedua untuk mendapatkan jaringan penyamaan, Muhd Hanis bin Haji Othman menghukum kealpaan pertahanan BESA FC untuk menjarakkan kedudukan kepada 3-1 seawal dua minit selepas rehat.

Kedudukan bertambah selesa buat DSP United menerusi jaringan peribadi kedua Mohd Faisal pada minit ke-75 sebelum Muhd Hanis mengikuti jejak langkahnya empat minit kemudian untuk gol kelima pasukan dan kemenangan membanggakan dengan jaringan 5-1.

DSP United melangkah ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015 selepas menang mudah 5-1 ke atas Kelab Liga Perdana DST 2015, BESA FC.
DSP United melangkah ke pusingan ketiga Piala FA DST 2015 selepas menang mudah 5-1 ke atas Kelab Liga Perdana DST 2015, BESA FC.

Kini DSP United hanya perlu menunggu nasibnya bertemu dengan salah satu dari Kelab Liga Super DST 2015 pada pusingan ketiga November nanti tertakluk kepada undian yang akan dijalankan oleh NFABD pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian iaitu selepas selesai semua perlawanan pusingan kedua kejohanan dijalankan. – Hasrulraizan