DSP United terus mara

DSP United terus mara

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 30 Sept – Jaringan awal dari Mohd Faisal bin Ahad pada minit ke-9 seakan-akan memberikan amaran kepada WLF yang terpaksa akur dengan kekalahan pada perlawanan Piala FA DST 2015 di Kompleks Sukan Tutong (KST) malam tadi, yang sekali gus menempatkan DSP United dalam cabaran seterusnya menerusi kejayaan menumpaskan WLF dengan jaringan 4-1.

Selepas gol sulung itu, DSP United sekali lagi menggegar gawang WLF apabila Mohamad Nazri bin Haji Hassan memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-20 setelah berlakunya kekasaran ke atas penyerang DSP United di dalam petak penalti.

Meskipun begitu, pujian harus diberikan kepada WLF yang diterajui Haji Mohd Khairul Hakimin apabila mereka tanpa henti memberikan tekanan kepada pertahanan DSP United yang akhirnya menghadiahkan mereka gol tunggal pada minit ke-51 hasil rembatan di luar petak D oleh Mohd Abdul Rahman bin Haji Seruji.

Pada babak kedua perlawanan itu, aksi berbalas serangan terus ditunjukkan kedua-dua pasukan namun nasib menyebelahi DSP United yang berjaya menembusi gapaian penjaga gawang WLF melalui Mohammad Fawzan bin Abu Kassim pada minit ke-80.

Penjaga gol DSP United bertindak cemerlang menangkap bola dari sepakan sudut WLF (kelabu).
Penjaga gol DSP United bertindak cemerlang menangkap bola dari sepakan sudut WLF (kelabu).

Setelah jaringan itu, WLF seakan hilang arah apabila mereka sekali lagi dipaksa untuk mempertahankan gawang daripada ditembusi dan ternyata ia tidak berhasil apabila Pengiran Ahmad Safwan Zulmajdi bin Pengiran Haji Rajid meledakkan rembatan yang sekali lagi menewaskan penjaga gawang WLF pada minit ke-87 untuk menjadikan kedudukan 4-1 kekal sehingga ke tiupan wisel penamat oleh pengadil.

Walaupun menang, DSP United masih perlu melalui satu lagi perlawanan sebelum melangkah ke pusingan kedua kejohanan. Lawan mereka seterusnya ialah BTC Red Star yang terundi ‘bye’ semasa majlis pengundian yang lalu. Pertemuan antara dua kelab non-liga itu dijadualkan berlangsung pada Isnin, 5 Oktober ini di KST bermula pukul 8.15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA