DSP United teruskan rentak

DSP United teruskan rentak

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – DSP United mencatat kemenangan ketiga berturut-turutnya dalam Kumpulan C, Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 selepas mudah menjinakkan Kilugus FC dengan jaringan 7-1.

Perlawanan di Padang Polo Jerudong itu nampak seimbang pada permulaannya dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehinggalah Mohd Adhwa Waliyuddin menjaringkan gol untuk DSP United pada minit ke-20.

Pendahuluan 1-0 DSP United itu tidak bertahan lama apabila Kilugus FC berjaya menyamakan kedudukan, 1-1, hanya tiga minit kemudian menerusi rembatan Md Mazran Haji Sani sekali gus mencatatkan bolos pertama DSP United dalam kempennya setakat ini.

Walau bagaimanapun, Wan Firdaus mengembalikan pendahuluan satu gol DSP United pada minit ke-28 iaitu hanya lima minit selepas gol penyamaan Kilugus FC. Berselang tiga minit kemudian DSP United mendahului 3-1 apabila Muhammad Hanis Haji Osman pula mencatat namanya dalam senarai penjaring.

DSP United terus mengorak langkah bergaya dalam Kumpulan C Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara dengan kemenangan 7-1 ke atas Kilugus FC.
DSP United terus mengorak langkah bergaya dalam Kumpulan C Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara dengan kemenangan 7-1 ke atas Kilugus FC.

Membawa jaringan 3-1 ke babak kedua, DSP United terus selesa apabila Muhammad Hanis meledak gol kedua peribadinya malam itu pada minit ke-57 sekali gus merubah kedudukan kepada 4-1.

Pertahanan tengah tinggi lampai DSP United dari Perancis, Luc Devaux menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-73 dan kedudukan jaringan itu kekal sehingga perlawanan masa sebenar berakhir.

Tetapi DSP United masih sempat menambah dua jaringan lagi pada masa-masa kecederaan bermula dengan ledakan Mohd Faizal Ahad pada minit ke-90+1 dan kemudiannya Muhammad Fawzan Abu Kassim pada minit ke-90+2 untuk memuktamadkan keputusan 7-1.

Kemenangan itu boleh saja menjadi kemenangan keempat berturut-turutnya, jika bukan kerana perlawanannya menentang Bebuloh FC pada 10 Oktober lalu dihentikan pada minit ke-53 ketika DSP United sudah mendahului 2-0, akibat keadaan cuaca hujan diiringi kilat.

Pada aksi pertamanya menentang AKSE Bersatu pada 20 September, DSP United menang 4-0, kemudian menurutinya dengan kemenangan 7-0 ke atas Bakes FT pada 26 September.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Plan Batu FC keluar sebagai pemenang dalam persaingan sengit menentang Bebuloh FC yang berkesudahan 3-2.

Zamrizal Zulkifli menjaringkan gol pembuka tirai perlawanan pada minit ke-14 untuk Bebuloh FC mendahului 1-0. Amirul Ahad menyamakan kedudukan buat Plan Batu FC pada minit ke-29.

Dua minit kemudian Zamrizal meledakkan gol kedua peribadinya untuk Bebuloh FC menerajui perlawanan 2-1, namun kedudukan kembali seimbang, 2-2 pada minit ke-33, hanya dua minit selepas jaringan kedua Zamrizal berkenaan.

Gol kemenangan Plan Batu FC hadir pada separuh masa kedua menerusi jaringan Md Nurul Izwan Roslan pada minit ke-56, yang ternyata menjadi jaringan terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad 3-2 berpihak kepada Plan Batu FC.

ARTIKEL YANG SAMA