DST ‘A’ mara ke pusingan kedua

DST ‘A’ mara ke pusingan kedua

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – DST ‘A’ menjadi pasukan terakhir mara ke pusingan kedua dalam acara futsal Sukan Ria Antara Syarikat 2015 setelah mengungguli Kumpulan N dengan memenangi ketiga-tiga perlawanannya di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), malam tadi.

DST ‘A’ memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menang tipis ke atas Borneo Bulletin 1-0, disusuli kemenangan mengejutkan ke atas Pasukan BIBD, dengan jaringan sama, sebelum menewaskan Butra Sdn Bhd 2-0.

Borneo Bulletin walaupun gagal mara tetapi berjaya melangkaui jangkaan apabila hanya tewas sekali dan berjaya mengikat BIBD 2-2 dalam perlawanan penutup Kumpulan N, selepas sebelum itu sekadar seri 1-1 dengan Butra Sdn Bhd untuk menduduki tangga ketiga kumpulan dengan dua mata.

Ketika menentang BIBD, Borneo Bulletin berjaya memecahkan kebuntuan separuh masa pertama dengan jaringan Khairi untuk mendahului 1-0, namun segera dibalas oleh BIBD menerusi jaringan Awangku Anaqi Sufi dari sepakan percuma di sempadan petak D Borneo Bulletin.

Fadhil Yunus (Jersi 7) nyaris menjaringkan gol buat Borneo Bulletin ketika menentang BIBD pada pering-kat kumpulan futsal Sukan Ria Antara Syarikat semalam.
Fadhil Yunus (Jersi 7) nyaris menjaringkan gol buat Borneo Bulletin ketika menentang BIBD pada pering-kat kumpulan futsal Sukan Ria Antara Syarikat semalam.

Fadhil Yunus kemudian membawa Borneo Bulletin ke depan semula, 2-1, dengan rembatan kencang kaki kiri pada jarak lebih 10 meter, hanya untuk Awangku Anaqi Sufi menyamakan kedudukan menerusi sentuhan terakhir perlawanan untuk kekal 2-2.

BIBD menduduki tangga kedua Kumpulan N dengan empat mata selepas hanya mencatat kemenangan sekali iaitu 2-1 ke atas Butra Sdn Bhd, hanya satu perlawanan sebelum kempennya pudar dengan kekalahan 0-1 kepada DST ‘A’.

Pada pusingan kedua di tempat sama malam ini, DST ‘A’ akan turun menentang juara Kumpulan G, RB ‘B’ pada pukul 9:30 malam bagi menentukan siapa layak meneruskan persaingan ke separuh akhir.

Perlawanan pertama pusingan kedua bermula jam 8:00 malam adalah di antara HSBC dengan Concepts Commercial Supplier, diikuti QAF Sdn Bhd lawan BSP. Brunei Press Sdn Bhd akan bersaing dengan Ideal Multifeed Farm pada perlawanan ketiga, disusuli JPMC ‘A’ lawan GHK Motors Sdn Bhd selepas itu.

Perlawanan kelima pula adalah antara Munajat Management Services dengan Darussalam Assets Sdn Bhd, kemudian Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan menentang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ‘B’ dan akhirnya RB ‘B’ menentang DST ‘A’.

ARTIKEL YANG SAMA