DST bantu ibu tunggal empat anak

DST bantu ibu tunggal empat anak

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Sebagai sebahagian daripada inisiatif Ihsan Kasih kendaliannya, DST membantu meringankan bebanan seorang ibu tunggal yang mempunyai anak berkeperluan khas (autisme) dengan menghulurkan sumbangan bersama vendor-vendornya.

Di bawah inisiatif itu, Dayang Dayatrina binti Moksin yang mempunyai empat orang anak, telah menerima wang tunai sejumlah $17,650 daripada DST dan vendor-vendornya iaitu Huawei Technology (B) Sdn Bhd, Ericsson, Greencity Concept, PAR Corporation Sdn Bhd, ASAFF Solutions Sdn Bhd, Isha Jaya Technology Sdn Bhd, Maju Jaya Sdn Bhd, dan Primatel Communications Sdn Bhd.

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat DST, Tungku Link, hari ini, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Lattif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Turut hadir ialah Awang Mohammad Ali Rahman bin Besir bagi mewakili Ketua Esekutif dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) selaku saksi kepada penyampaian sumbangan daripada DST dan vendor-vendornya kepada Datin Paduka Dayang Apsah binti Haji Abdul Majid selaku wakil Dayang Dayatrina.

Pada majlis itu, sumbangan daripada DST berjumlah $4,330 telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Esekutif DST, Haji Suhaimi bin Haji Hussain.

Hadir sama bagi menyampaikan sumbangan ialah ketua-ketua syarikat yang memberikan sumbangan, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif DST, warga pengurusan dan para pegawai DST.

Menurut kenyataan DST, Dayang Dayatrina merupakan penerima sebuah rumah banglo daripada Skim Perumahan Yayasan namun persiapan rumah berkenaan juga memerlukan pembiayaan tambahan untuk pemasangan ciri-ciri keselamatan bagi anaknya yang berkeperluan khas.

Dana tambahan bagi kerja-kerja pemasangan itu disumbangkan oleh DST dan vendor-vendornya.

Sebagai sebahagian daripada outreach komuniti DST, Ihsan Kasih berusaha untuk memberi sumbangan dalam membuat perbezaan kepada kehidupan mereka yang kurang bernasib baik. Sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh para penerima.

ARTIKEL YANG SAMA