DST beri kejutan kepada anak-anak yatim

DST beri kejutan kepada anak-anak yatim

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Lebih 50 orang anak yatim bersama penjaga mereka telah dihiburkan dengan lawatan mengejut daripada wira-wira Ultraman semasa majlis penyampaian tiket yang berlangsung di Ibu Pejabat DST, di Tungku Link, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan ‘Ihsan Kasih’, DST telah menyumbang 100 tiket VIP untuk anak-anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara serta penjaga mereka untuk menyaksikan persembahan langsung Ultraman pada malam ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Marsad bin Haji Ismail yang turut menyempurnakan penyampaian tiket-tiket bersama Pengurus Besar DST, Derek Wong. Juga hadir ialah pihak pengurusan dan kakitangan DST serta para jemputan bersama penjaga mereka.

Majlis dimulakan dengan sambutan mesra daripada kakitangan DST, diikuti penyampaian tiket dan kemunculan istimewa wira-wira Ultraman di mana para jemputan berpeluang untuk melihat lebih dekat dan mengambil gambar bersama mereka.

Haji Marsad (empat dari kanan) dan Derek Wong (empat dari kiri) bergambar bersama tiga wira Ultraman.
Haji Marsad (empat dari kanan) dan Derek Wong (empat dari kiri) bergambar bersama tiga wira Ultraman.
Anak-anak yatim berpeluang merakamkan gambar bersama wira-wira Ultraman.
Anak-anak yatim berpeluang merakamkan gambar bersama wira-wira Ultraman.

pg08_160326_e

Awang Muhd Azka Syahfi bin Abdullah, 5, dan kakaknya, Dayang Siti Nur Atiqah Carreon, 11, adalah antara anak yatim yang hadir pada majlis berkenaan, di mana mereka menyatakan perasaan gembira kerana tidak perlu membeli tiket berkenaan untuk melihat persembahan Ultraman, selain itu mereka juga berasa diri mereka telah dihargai oleh pihak DST.

Seorang lagi anak yatim, Wan Wafiy Hasif bin Haji Wan Joffry ketika ditemui berkata, “Saya amat terkejut dengan kejutan Ultraman yang datang ke sini.”

Beliau juga sangat teruja untuk menyaksikan ‘Ultraman Live in Brunei’ pada malam ini untuk melihat watak-watak jahat menentang Ultraman.

Program ‘Ihsan Kasih’ bertujuan untuk mengumpulkan warga DST bagi melaksanakan kerja-kerja kesukarelawan dan berkebajikan bagi membantu warga Brunei yang kurang bernasib baik, anak-anak yatim dan masyarakat berkeperluan khas.