DST giat laksana Kempen Amal Ramadan

DST giat laksana Kempen Amal Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – DST kini sedang giat membuat persiapan bagi Kempen Amal Ramadan Ehsan Kasih yang akan bermula pada 30 Mei ini hingga 23 Jun 2016 sebagai sebahagian daripada aktiviti amal tahunannya dan program tanggungjawab sosial korporat.

Lebih daripada 200 keluarga kurang bernasib baik di Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Temburong dan Belait akan menerima sumbangan daripada DST dalam bentuk barangan rumah dan sumbangan peribadi, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DST, hari ini.

Kempen selama sebulan itu akan berusaha membantu orang-orang miskin dengan menyumbangkan barang-barang runcit dan keperluan rumah.

Sebagai persediaan, kakitangan sukarelawan DST bergotong-royong menyediakan barangan sumbangan bagi permulaan kempen itu pada 30 Mei ini di Ibu Pejabat DST, Tungku Link. DST dalam kenyataannya menjelaskan, kempen amal ini merupakan salah satu daripada empat program Ihsan Kasih Program Tanggungjawab Sosial Korporat DST.

Bermula sebelum Ramadan dan berakhir dalam bulan Ramadan, kempen ini dihasratkan untuk menunjukkan rasa belas kasihan dan memberi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Sukarelawan DST berganding bahu menyediakan barangan sumbangan bagi permulaan kempen tersebut.
Sukarelawan DST berganding bahu menyediakan barangan sumbangan bagi permulaan kempen tersebut.

Pengurus Perhubungan Korporat Kumpulan di DST, Awang Elixsurian bin Haji Busu telah berkongsi pengalamannya dalam persediaan projek kempen amal berkenaan.

“Ini memasuki tahun ke-9 berturut-turut kami melakukan kempen amal ini dan kami sentiasa merasakan ia satu pengalaman yang memberi kepuasan dan bermakna dalam membantu orang-orang miskin yang memerlukan bantuan tambahan kepada situasi kehidupan mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, semasa kempen amal itu, mereka dipertanggungjawabkan untuk mengenali para penerima yang berkongsi pengalaman mereka supaya DST dapat mempertimbangkan untuk memberi bantuan lanjut.

DST mempunyai lebih 150 kakitangan sukarelawan yang akan menjalankan projek ini bermula daripada persediaan barangan keperluan sehingga penyampaian sumbangan dengan diiringi pihak pengurusan kanan DST.

Kempen Amal Ihsan Kasih Ramadan DST akan bermula di Ulu Belait pada 30 Mei ini, Ulu Tutong pada 1 Jun dan Temburong pada 2 Jun.

ARTIKEL YANG SAMA