DST, PB meterai MoU

DST, PB meterai MoU

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – DST dan Politeknik Brunei (PB), hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi ‘Program Latihan Perintis’ pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat DST, Tungku Link.

Penandatanganan MoU berkenaan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latiff bin POKSS DP Haji Mohd Yusof.

Menandatangani MoU bagi pihak DST ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Suhaimi bin Haji Hussain dan Penolong Pengurus Besar Kumpulan Sumber-sumber Tenaga Manusia DST, Dayang Ramlah binti Haji Rabaha, manakala PB diwakili oleh Pengarahnya, Denis Ho Mun Tai dan Pemangku Penolong Pengarah, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

Haji Suhaimi dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, MoU berkenaan menandakan kerjasama rasmi dalam menyediakan latihan kolektif kepada pelajar-pelajar PB bagi kursus-kursus dalam perniagaan, kejuruteraan, telekomunikasi dan info-komunikasi.

Menurut beliau lagi, program berkenaan pada asasnya berbeza dengan program-program penempatan serupa yang lain.

Haji Suhaimi dan Denis Ho bertukar dokumen persefahaman yang dimeterai sambil disaksikan oleh Awang Abdul Latiff.
Haji Suhaimi dan Denis Ho bertukar dokumen persefahaman yang dimeterai sambil disaksikan oleh Awang Abdul Latiff.

“Sumbangan DST termasuk membantu PB dalam menyediakan sukatan-sukatan berkaitan dan kemudiannya menghasilkan latihan dalam pekerjaan kepada pelajar-pelajar PB dengan pendedahan langsung terus, pengalaman dan wawasan terhadap persekitaran pekerjaan sebenar DST sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang mantap,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bagaimana program ini selaras dengan misi DST untuk melabur dalam pembangunan modal insan supaya DST akan mempunyai tenaga kerja yang kompeten dan berpengetahuan, pada masa yang sama menyumbang ke arah melahirkan lebih banyak sumber yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi masa depan negara.

Sementara itu, Denis Ho dalam ucapannya pula berkata, inisiatif antara PB dan DST adalah selaras dengan visi PB sebagai sebuah politeknik yang bereputasi, inovatif dan berkemahiran.

“Kerjasama ini membolehkan Politeknik Brunei untuk mengintegrasikan kaedah-kaedah terbaik dan keperluan dalam kurikulum institut memastikan latihan yang diberikan relevan dengan keperluan industri dan juga memberi peluang meningkatkan pengalaman pembelajaran dan teori dalam persekitaran tempat kerja,” ujar beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA