DST rai 2 saudara baru

DST rai 2 saudara baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – DST Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi meraikan dua saudara baru yang berlangsung di Ibu Pejabat DST, Tungku Link, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan DST, Herman Wong Sing Ping, yang merupakan jurutera teras di Huawei Technologies Sdn Bhd telah melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah.

Beliau yang memilih nama Islamnya sebagai Herman Wong bin Abdullah merupakan yang pertama memeluk Islam dalam kalangan keluarganya seramai lima orang.

Sementara itu, seorang lagi saudara baru, Mohammad Razies bin Razab yang berbangsa Dusun, seorang pegawai di Operasi IT DST, melafazkan dua kalimah syahadah pada Ogos lalu dan merupakan yang kedua memeluk Islam dalam kalangan keluarganya juga seramai lima orang setelah mengikut jejak langkah bapanya yang memilih Islam sebagai pegangan hidupnya beberapa tahun lalu.

Dua saudara baru, Herman Wong (2 dari kanan) dan Mohd Razies (2 dari kiri) bergambar ramai bersama Awang Suhaimi dan pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah.
Dua saudara baru, Herman Wong (2 dari kanan) dan Mohd Razies (2 dari kiri) bergambar ramai bersama Awang Suhaimi dan pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan solat Asar berjemaah yang turut disertai oleh saudara-saudara baru berkenaan dan diikuti dengan Dikir Marhaban. Kemudian, majlis menyaksikan penyampaian cenderahati kepada saudara-saudara baru yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussain dan Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Aziz bin Haji Kahar.

Turut hadir pada majlis itu ialah warga pengurusan dan kakitangan DST, pegawai-pegawai dari Pusat Dakwah Islamiah serta keluarga saudara-saudara baru berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA