DST raikan anak-anak yatim Ihsan Kasih

DST raikan anak-anak yatim Ihsan Kasih

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Lebih daripada 70 orang anak yatim dan penjaga mereka dari Daerah Brunei dan Muara, hari ini, dihiburkan dengan pelbagai aktiviti pendidikan dan hiburan yang disediakan oleh DST sebagai sebahagian daripada inisiatif Ihsan Kasih.

Menurut kenyataan DST, hari penuh menyeronokkan itu dimulakan dengan aktiviti di Ibu Pejabat DST di Tungku Link di mana kehadiran mereka dialu-alukan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Marsad bin Haji Ismail dan warga pengurusan serta kakitangan DST.

Di sana, anak-anak yatim berpeluang beramah mesra dengan dan kakitangan DST menerusi aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, di samping menerima barangan istimewa daripada DST.

Kemudian, mereka dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) untuk mempelajari lebih banyak lagi mengenai sistem pertahanan Brunei di pangkalan udara itu.

Selepas kunjungan ke TUDB, kanak-kanak terbabit dan penjaga mereka dibawa ke Taman Permainan Jerudong dengan kemasukan eksklusif untuk bermain luncur ais “Icetravaganza” yang baru dibuka di samping ke Water Park Playground.

Kanak-kanak yang diraikan bergembira bermain luncur ais.
Kanak-kanak yang diraikan bergembira bermain luncur ais.
Anak-anak yatim dan penjaga mereka bergambar ramai bersama pengurusan dan kakitangan DST semasa kunjungan ke Pangkalan TUDB kelmarin.
Anak-anak yatim dan penjaga mereka bergambar ramai bersama pengurusan dan kakitangan DST semasa kunjungan ke Pangkalan TUDB kelmarin.

Pengurus Perhubungan Korporat Kumpulan DST, Hajah Safrina binti PD Haji Abdul Rahman dipetik sebagai berkata; “Kami sekali lagi berpeluang bagi membawa pengunjung-pengunjung muda untuk melawat tempat-tempat yang menarik dan mengadakan aktiviti-aktiviti eksklusif bagi mereka memandangkan peluang ini tidak selalu hadir.

“Mengunjungi tempat-tempat seperti pangkalan udara adalah peluang yang bagus untuk memberikan mereka inspirasi. Jangkaan terhadap keseluruhan acara adalah untuk memastikan mereka bergembira dan juga bagi kami untuk bersama mereka sebagai sebahagian tanggungjawab sosial kemasyarakatan kami.”

Tambahnya lagi, inisiatif ‘Ihsan Kasih’ adalah untuk mencapai beberapa buah komuniti di Brunei seperti mereka yang kurang berkemampuan, anak yatim dan individu berkeperluan khas, dengan menganjurkan inisiatif seperti ini, DST berharap ia akan mencipta impak yang positif dalam kehidupan seharian mereka dan terpahat sebagai sebahagian memori istimewa mereka.

DST secara proaktif menyusun pelbagai aktiviti bagi anak yatim seperti perlawanan futsal di Daerah Brunei dan Muara, kunjungan pendidikan ke Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, menonton wayang filem tempatan “Yasmine”, peluang untuk mengunjungi Dino Expo dan hari ini, ke Pangkalan TUDB.