DST raikan insan istimewa

DST raikan insan istimewa

KUALA BELAIT, 7 Ogos – Ihsan Kasih DST terus membawa suasana riang kanak-kanak berkeperluan khas dengan mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Mini Persidangan, Kuala Belait, hari ini.

Kira-kira 350 kanak-kanak berkeperluan khas serta keluarga dan kakitangan dari Pusat Bahagia Eric Goh, Pusat KACA, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SMARTER Brunei dan Unit Pendidikan Khas dari Kementerian Pendidikan diraikan oleh kakitangan-kakitangan dari DST.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Marsad bin Haji Ismail.

Turut hadir wakil guru dari Pusat KACA iaitu Hajah Masni binti Haji Matzin, Pengurus Cawangan Pusat Ehsan Dayang Hamimah binti Haji Sapar, Pemangku Guru Kanan di Pusat Bahagia Eric Goh daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat Awang Muhd ​​Jailani bin Abdullah, Timbalan Pengarah Amalan Klinikal dari SMARTER Brunei, Dayang Lourdes Radovan dan Penyelaras Unit, Dr. Hajah Norbayah binti Haji Shahminan dari Kementerian Pendidikan.

Minions menjadi kegemaran ramai apabila membuat penampilan istimewa di Dewan Mini Persidangan Kuala Belait kelmarin.
Minions menjadi kegemaran ramai apabila membuat penampilan istimewa di Dewan Mini Persidangan Kuala Belait kelmarin.

Salah satu acara kemuncak sambutan itu adalah sumbangan duit raya dan buah tangan dari DST yang disampaikan oleh Haji Marsad serta wakil-wakil dari Pengurusan Kanan DST kepada kanak-kanak bersama-sama dengan ibu bapa dan penjaga mereka.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara khas berupa persembahan oleh kanak-kanak dari Pusat Bahagia Eric Goh dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta kakitangan DST yang menyanyikan lagu-lagu Hari Raya serta penampilan istimewa Minions dan Minnie Mouse.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama kanak-kanak berkeperluan khas ini adalah sebahagian projek tanggungjawab sosial korporat DST, bertujuan untuk berkongsi kemeriahan yang menggembirakan bersama mereka.