DST terus sokong VFA

DST terus sokong VFA

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – DST terus memberikan sokongannya kepada Persatuan Bolasepak Veteran Brunei Darussalam (VFA) dalam menganjurkan Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST ke-7, 2016 menerusi tajaan wang tunai.

Sehubungan dengan itu satu Majlis Penyerahan Cek Replika Tajaan DST untuk KBVK DST 2016 telah diadakan petang ini di Bilik Taklimat, Tingkat 2, Ibu Pejabat DST, Tungku Link.

Menyerahkan cek replika berkenaan kepada Presiden VFA, Liew Chuan Fue ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Suhaimi bin Haji Hussain.

Selesai penyerahan berkenaan, Naib Presiden VFA, Haji Metussin bin Bagol telah memberikan sedikit ucapan, yang khususnya menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih VFA ke atas sokongan berterusan DST dalam menjayakan KBVK sejak kali pertama ia dianjurkan pada 2010.

Para pegawai DST dan ahli jawatankuasa tertinggi VFA bergambar ramai bersama Liew (lima dari kanan) dan Haji Suhaimi (empat dari kanan).
Para pegawai DST dan ahli jawatankuasa tertinggi VFA bergambar ramai bersama Liew (lima dari kanan) dan Haji Suhaimi (empat dari kanan).

KBVK DST Kali Ke-7, 2016 akan kekal mempertandingkan dua piala sebagaimana tahun-tahun sudah iaitu Piala Presiden (yang dijalankan dalam peringkat kumpulan terlebih dulu disusuli dengan pusingan kalah mati) dan Piala FA (dijalankan formatnya secara kalah mati sedari awal hingga akhir).

Penyertaan pasukan dalam KBVK DST terus meningkat dari setahun ke setahun yang sudah mencatat jumlah tertinggi tahun lalu dengan 34 penyertaan tetapi tahun ini lebih lagi dengan sebanyak 38 buah pasukan sudah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Daripada 38 buah pasukan berkenaan, sembilan daripadanya merupakan pasukan yang baru pertama kali menyertai kejohanan tahunan berkenaan.

VFA sebagai penganjur sangat berbesar hati atas sokongan yang tidak kendur-kendurnya daripada pihak DST dengan memberi tajaan tersebut.

Sehubungan itu VFA bertekad untuk memperkemaskan lagi mutu penganjuran dan memastikan ianya akan menjadi lebih berprestij dan meriah dari tahun-tahun sebelumnya.